PETALING JAYA: Kerajaan disyorkan memperbanyak pembinaan sekolah baharu atau menambah blok di sekolah sedia ada bagi mengatasi isu jurang nisbah guru dan murid yang terlalu besar.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, kerajaan mempunyai banyak tanah yang memang sudah dibeli tetapi tidak diguna pakai yang mana pembinaan sekolah baharu boleh dilakukan di situ.
“Diakui bukan mudah membina sekolah kerana perlu rancangan yang rapi seperti mengkaji kesesuaian kawasan dan meneliti kumpulan umur di kawasan itu.
“Kementerian harus bekerja lebih sedikit bagi merapatkan jurang nisbah guru dan murid supaya tiada pelajar akan ketinggalan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, kekurangan guru sekolah di seluruh negara dilaporkan kritikal apabila jurang nisbah guru dan murid terlalu besar iaitu 1:45 atau 1:40 berbanding nisbah dicadangkan iaitu 1:20.
Kementerian Pendidikan direkodkan mempunyai lebih 430,000 guru di seluruh negara dan jumlah itu sebenarnya cukup jika semua guru ditugaskan mengajar lima juta murid dengan nisbah antara guru dan murid mengecil kepada 1:11 murid.

Jasni berkata, antara punca kepadatan pelajar adalah kelas yang tidak mencukupi.
“Peruntukan guru diberikan berdasarkan kelas yang disediakan di sesebuah sekolah tersebut. Sebagai contoh, 30 kelas diberi 17 hingga 20 guru.
“Pelajar ramai tetapi kelas tidak mencukupi dan kementerian sukar mengehadkan pelajar dalam sesebuah sekolah kerana ingin memenuhi keperluan masyarakat.
“Ramai persoalkan mengapa masih menerima pelajar sekiranya sudah mencapai hadnya, tetapi kementerian ingin menjamin kesejahteraan.
“Kebanyakan situasi adalah apabila kakaknya sudah berada di sekolah tersebut jadi tidak mungkin adik boleh dihantar ke sekolah lain atau sekolah tersebut berdekatan dengan rumah. Ia memudahkan ibu bapa menghantar anak mereka.
“Banyak perkara yang tidak boleh dielakkan bagi mengehadkan pelajar dalam sesebuah sekolah, justeru sesebuah kelas menjadi terlalu padat,” ujarnya. – UTUSAN










