KUANTAN: Kerajaan negeri diingatkan supaya memberi peruntukan yang adil, termasuk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya landskap politik negeri perlu diubah selari dengan 66 tahun negara mencapai kemerdekaan.
Baginda bertitah, 66 tahun tempoh kemerdekaan ini sepatutnya politik negeri sudah matang dan yang menjadi kerajaan negeri harus meraikan pembangkang kerana mereka juga dipilih oleh rakyat.
“Peruntukan yang adil perlu diberikan kepada mereka (pembangkang) juga,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini semalam.
Tengku Hassanal bertitah, pembangkang pula dalam pada itu diingatkan agar tidak menghentam semua usaha yang sudah dilakukan kerajaan negeri.
“Apa yang baik berilah pujian, apa yang kita kurang berikan pandangan. Rakyat mahu politik yang stabil,” titah baginda.
Pemangku Raja Pahang bertitah, Pahang perlu terus bergerak laju ke hadapan dan mesti menjadi contoh kepada negeri lain.
“Saya harus berikan pujian, saya kira kerajaan sekarang dalam landasan betul. Hasil negeri meningkat dan adanya pelbagai inisiatif yang baik untuk rakyat.
“Namun masih ada banyak yang boleh ditambah baik. Fokus lebih kepada masalah dihadapi rakyat seperti bekalan air, jalan raya, banjir, peluang pekerjaan, kesesakan lalu lintas, keselamatan dan pembangunan belia,” titah baginda.
Baginda dalam masa sama turut menasihatkan agar kesemua projek kerajaan yang dilaksanakan tidak lewat daripada jadual yang sepatutnya.
“Projek yang sepatutnya siap awal rugilah kalau lewat. Lambat rakyat merasa nikmatnya.
“Kepada kontraktor yang melaksanakan projek tersebut, buat betul-betul. Guna bahan bermutu tinggi dan ikut spesifikasi, jangan curi-curi,” katanya.
Baginda turut menasihatkan pegawai kerajaan dan penjawat awam supaya pantas dalam melakukan tugasan.
“Proses birokrasi dan menyusahkan, buang jauh-jauh. Kepada majikan swasta, apabila sudah untung lebih, jangan lupa beri semula kepada pekerja. Ada untung lebih bayarlah gaji pekerja lebih sikit atau beri bonus lebih baik,” titah baginda.
Dalam perkembangan lain, Tengku Hassanal menitahkan kerajaan negeri memantau pelaburan di negeri ini supaya tidak menjejaskan alam sekitar.
Baginda dalam titahnya menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian kerajaan negeri sehingga kini yang berjaya memuktamadkan tujuh projek pelaburan antarabangsa. – UTUSAN