'Zaman saya pun jurulatih dari Jerman'

‘Zaman saya pun jurulatih dari Jerman’

HASSAN SANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Bagi jurulatih, masa zaman saya pun datang dari Jerman (Karl-Heinz Weigang).”

Itu kata legenda bola sepak negara, Datuk Hassan Sani menjawab tentang revolusi skuad kebangsaan.

Beliau berkata, program revolusi skuad bola sepak kebangsaan perlu diberikan ruang sewajarnya untuk meraih kejayaan dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Kritikan dilemparkan tidak hanya mengundang persepsi negatif terhadap bola sepak negara, malah berisiko untuk melumpuhkan usaha untuk membangunkan sukan No.1 di Malaysia itu.

Hassan berkata, beliau melihat inisiatif Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail membantu skuad kebangsaan ketika ini cukup baik dan tepat.

Katanya, semua yang dilakukan ketika ini termasuk pelantikan jurulatih adalah untuk kejayaan Harimau Malaya selain mengharumkan nama Malaysia dalam arena bola sepak antarabangsa.

“Tidak kira pemain dari mana yang dipilih, asalkan mereka ada darah dan kaitan dengan Malaysia. Jika kita tidak gunakan mereka ini, kita yang juga yang rugi, membazir bakat.

“Dalam masa yang sama, pasukan kebangsaan juga tidak pinggirkan bakat tempatan, ada pemain tempatan berkualiti yang dipanggil untuk menguatkan skuad kebangsaan.

“Saya juga melihat, situasi ini (keberadaan pemain arisan, naturalisasi) sepatutnya menjadi pembakar semangat untuk pemain tempatan membuktikan mereka sebenarnya lebih baik.

“Jika mereka (pemain tempatan) sudah cukup bagus, bagi saya, tunggu masa sahaja untuk di panggil oleh Peter Cklamovski. Bagi jurulatih pula, masa zaman saya pun datang dari Jerman (Karl-Heinz Weigang),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ketika ini, daripada 38 pemain yang dipanggil ke kem latihan Harimau Malaya, 22 pemain adalah anak jati, manakala selebihnya terdiri daripada pemain warisan dan naturalisasi yang beraksi di luar negara.

Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak bersetuju dengan kritikan negatif segelintir pihak terhadap program naturalisasi pemain dalam skuad Harimau Malaya ketika ini.

Baginda turut menepis tanggapan barisan kejurulatihan dikuasai ‘orang luar’, sedangkan Nafuzi Zain dan Hairudin Omar dilantik untuk membimbing skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara selain pelantikan Tan Cheng Hoe selaku Pengarah Teknikal skuad Harimau Malaya.

Skuad negara kini memiliki misi untuk menamatkan badi 11 tahun apabila menentang Vietnam pada aksi getir kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 10 Jun depan.

Kali terakhir skuad negara menang ke atas Vietnam ketika aksi separuh akhir Piala ASEAN 2014 yang ketika itu dibimbing Datuk Dollah Salleh dengan keputusan 4-2. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×