Taiwan mahu dialog dengan China demi keamanan

Taiwan mahu dialog dengan China demi keamanan

PRESIDEN Taiwan, Lai Ching-te menyampaikan ucapan sempena ulang tahun pertama pelantikannya di Pejabat Presiden di Taipei, semalam.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Taiwan mahukan keamanan dan bersedia mengadakan dialog dengan China, namun tetap menekankan keperluan untuk memperkukuh pertahanan pulau itu.

Presiden Taiwan, Lai Ching-te berkata, peperangan tidak membawa kemenangan kepada sesiapa dan keamanan tidak boleh dicapai dengan ilusi.

Berucap sempena genap setahun dilantik menjadi presiden, beliau berkata, rakyat Taiwan sukakan keamanan.

“Saya juga komited kepada keamanan, kerana keamanan itu tidak ternilai dan peperangan tidak membawa kemenangan kepada sesiapa.

“Tetapi dalam usaha mengejar keamanan, kita tidak boleh bermimpi atau berilusi,” katanya dalam sidang media di pejabat presiden di pusat bandar Taipei, semalam.

Bagaimanapun, Lai berkata, Taiwan akan terus memperkukuh pertahanan kerana menyifatkan persediaan menghadapi peperangan adalah langkah terbaik untuk mencegahnya.

“Saya juga ingin menegaskan di sini, Taiwan bersedia menjalinkan pertukaran dan kerjasama dengan China selagi ia berlandaskan prinsip saling menghormati dan bermaruah.

“Gunakan pertukaran untuk menggantikan kepungan dan dialog bagi menggantikan konfrontasi,” katanya.

China menggelar Lai sebagai ‘pemisah’ dan menolak beberapa tawaran beliau untuk mengadakan rundingan.

Lai menolak tuntutan kedaulatan China ke atas pulau demokratik yang ditadbir secara berasingan itu, sambil menegaskan hanya rakyat Taiwan berhak menentukan masa depan mereka.

Minggu lalu, Kementerian Pertahanan China menyifatkan Lai sebagai ‘pencetus krisis Selat Taiwan’ yang meningkatkan ketegangan dan konfrontasi serta menjejaskan keamanan dan kestabilan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN