KULIM: Seorang wanita terpaksa melupakan hasrat membantu suami menyara keluarga apabila terpaksa berhenti kerja demi memberi perhatian kepada anak bongsu yang menghidap masalah jantung.
Norain Wahab, 28, berkata, dia sebelum ini bekerja di sebuah gerai makan bagi membantu kewangan keluarga manakala suaminya, Mohd. Firdaus Abu Seman, 36, hanya bekerja kilang dengan pendapatan sekitar RM1,700 sebulan.
Katanya, anak mereka, Muhammad Umar Harith yang baru berusia setahun tiga bulan menghadapi komplikasi akibat pembedahan di bahagian jantung menyebabkan keadaannya semakin sukar untuk dijaga dan perlu perhatian sepanjang masa.
“Setiap hari saya bersama suami pantau keadaan anak kerana dia perlu memakai mesin pernafasan serta mesin menyedut kahak yang disewa, malah waktu malam Muhammad Umar Harith sukar tidur,” katanya ketika ditemui di Kampung Keda Bagan Sena, Labu Besar, semalam.
Muhammad Umar Harith yang dilahirkan pada 12 Februari tahun lalu di Hospital Kulim menghadapi masalah pada bahagian jantung yang tersumbat dan berlubang.
Norain berkata, anaknya itu menjalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang untuk memasukkan stent pada saluran darah yang tersumbat.
Namun Norain berkata, pada Februari lalu bayinya sekali lagi menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) dan doktor memaklumkan risiko yang bakal dihadapi serta komplikasi hanya kira-kira 10 peratus sebelum mereka bersetuju menjalani pembedahan itu.
“Kini anak bongsu daripada dua beradik itu perlu bergantung kepada mesin pernafasan dan mesin sedut kahak yang disewa RM450 sebulan,” jelasnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi talian 013-4816693 (Mohd. Firdaus) atau menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB milik Norain (7020479265). – UTUSAN










