Bekas pramugari perlu RM150,000 jalani pemindahan buah pinggang - Utusan Malaysia

Bekas pramugari perlu RM150,000 jalani pemindahan buah pinggang

NAHZATUSSHIMA Kamarudin ketika mendapatkan rawatan penyakit buah pinggang tahap akhir yang dihidapinya di sebuah pusat rawatan dialisis di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seorang bekas pramugari, Nahzatusshima Kamarudin, 48, yang menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir memerlukan bantuan dana berjumlah RM150,000 bagi menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang.

Wanita yang berasal dari Subang Jaya, Selangor itu tidak pernah menyangka dia akan menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir pada usia muda iaitu pada usia 37 tahun.

Nahzatusshima yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia telah menjalani rawatan dialisis di Shah Alam, Selangor sejak 12 tahun lalu sehingga kini.

“Saya terpaksa melepaskan jawatan sebagai pramugari dan kini menjadi pekerja sambilan untuk menampung kos rawatan yang menelan kos RM3,000 sebulan.

“Saya menerima bantuan Zakat Selangor kira-kira RM1,300 sebulan selain sebahagian daripada kos ditanggung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan baki perbelanjaan sekitar beberapa ratus ringgit hingga RM1,200 sebulan perlu dibayar sendiri,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, sinar harapan baharu muncul buatnya apabila suaminya, Jessri Hazril, 47, sanggup mendermakan salah satu buah pinggangnya kerana mereka mempunyai jenis darah yang sama.

“Saya berharap dapat meniti usia tua bersama suami dan anak-anak dengan pemindahan buah pinggang ini.

“Tetapi prosedur ini memerlukan kos sebanyak RM150,000 dan ia begitu membebankan kami sekeluarga kerana saya dan suami tiada pekerjaan tetap,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau berkata, pasangan itu tampil ke pejabat One Hope Charity and Welfare untuk memohon bantuan bagi mengutip dana daripada orang ramai.

”Setelah menimbang situasi mereka, kami telah meluluskan untuk mengutip derma sebanyak RM150,000 supaya pemindahan buah pinggang dapat dilakukan segera.

”Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan derma menerusi akaun Public Bank Berhad (One Hope Charityu & Welfare) di nombor 3201428817,” katanya.

Tambahnya, untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.onehopecharity.org atau menghubungi talian 04-539 9212, 016-4192 192, 018-911 4192 untuk sebarang pertanyaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.