Bekas kerani akaun mengaku tidak salah pecah amanah RM70,000 - Utusan Malaysia

Bekas kerani akaun mengaku tidak salah pecah amanah RM70,000

BEKAS kerani akaun sebuah gedung pakaian, Janet PC Gomes mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di George Town, Pulau Pinang hari ini atas lapan pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai RM70,000. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Seorang bekas kerani akaun sebuah gedung pakaian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan pecah amanah wang milik gedung pakaian itu berjumlah lebih RM70,000 antara tahun 2015 hingga 2019.

Tertuduh, Janet PC Gomes, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab.Karim.

Mengikut lapan pertuduhan yang dibaca berasingan di hadapan hakim, tertuduh sebagai kerani akaun di sebuah gedung pakaian di Lebuh Pasar di sini didakwa telah melakukan pecah amanah antara tahun 2015 hingga 2019.

Tertuduh yang kini bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah hotel di pusat bandar didakwa telah menunaikan cek berjumlah lebih RM70,000 untuk kegunaan sendiri.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan sebat dan denda mengikut seksyen berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong memohon mahkamah supaya menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 untuk setiap pertuduhan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam tertuduh iaitu V. Parthipan; T. Tamil Salvan dan Shamsher Singh Thind memohon mahkamah menetapkan jaminan minimum atas alasan tertuduh bekerja seorang diri menyara keluarga berikutan suaminya menghidap penyakit kronik.

Selain itu, tertuduh turut memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang ditahan bagi siasatan kes berkenaan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM6,000 dengan dua penjamin bagi semua pertuduhan dan kes akan disebut semula pada 4 Julai depan.

Tertuduh juga diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya