Bekas CEO MARii didakwa lagi

Bekas CEO MARii didakwa lagi

MOHAMAD Madani Sahari (kanan) bersama peguamnya, Wan Aizuddin Wan Mohammed selepas mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram di Mahkamah Sesyen Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Robotik Automotif dan IoT (MARii), Datuk Mohamad Madani Sahari dihadapkan ke Mahkamah Sesyen bagi berdepan 12 pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah lebih RM1 juta pada 2021 dan tahun lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-10, Mohamad Madani, 56, didakwa menerima wang berjumlah antara RM30,000 hingga RM300,000 daripada akaun Hong Leong Islamic Bank milik peguamnya, Norizan & Associates (akaun klien) ke akaun Maybank Islamic miliknya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 7 September 2021 hingga 22 Februari 2022 di Malayan Banking Berhad Cawangan Kulim, dekat sini.

Mohamad Madani turut berdepan dua lagi pertuduhan sama, masing-masing berjumlah RM19,000 yang didakwa diterima menerusi akaun Maybank Islamic Berhad miliknya dari Trillion Cove Holdings Berhad, hasil daripada pembelian saham Redeemable Preference Share-i berjumlah RM1 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 6 Oktober 2021 dan 8 November 2021 di Maybank Islamic Berhad dekat Taman Manggis III, Kulim.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Syafina Mohd. Radzuan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan ketika kesalahan itu dilakukan, atau RM5 juta bergantung mana yang lebih tinggi untuk setiap pertuduhan dihadapi.

Tertuduh diwakili peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed dan Muhammad Rahmat Geneid.

Pada 14 April lalu, Mohamad Madani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah RM5 juta pada 8 Julai 2021.

Beliau kemudian dihadapkan pula ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8 Mei lalu atas pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM5 juta yang didakwa dilakukan sekitar Mei 2021.

Dua hari selepas itu, Mohamad Madani kembali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi berdepan sembilan pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram yang melibatkan transaksi RM4 juta pada 2021 dan 2022.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah membenarkan wang jaminan RM300,000 daripada kes dihadapi sebelum ini digunakan untuk pertuduhan terbaharu selain kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan secara bersama pada 9 Jun ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya