PETALING JAYA: Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai menyamun wanita dalam kejadian di di hadapan lif sebuah pangsapuri di Sentul Utama dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian pukul 10 malam, mangsa berusia 30 tahun dikatakan
Dalam kejadian 10 malam itu, mangsa yang pulang dari kerja sedang menaiki lif untuk ke rumahnya di tingkat lima pangsapuri berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, ketika kejadian, terdapat lelaki yang memakai topi keledar, baju dan seluar hujan berwarna hitam dalam lif tersebut.
Katanya, suspek kemudian keluar di tingkat empat manakala mangsa yang bekerja sebagai barista di sebuah kafe di ibu negara meneruskan perjalanan ke rumahnya di tingkat lima.
“Semasa mangsa keluar dari lif di tingkat lima, suspek telah muncul di hadapan mangsa.
“Suspek turut menghunus pisau ke perut mangsa sebelum mengarahkan mangsa mengeluarkan semua barangan peribadi, antaranya sebuah telefon bimbit, kad bank serta dokumen peribadi yang bernilai kira-kira RM6,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Sukarno berkata, pihaknya sedang mengesan suspek yang dianggarkan setinggi 160 sentimeter dan seberat 70 kilogram itu kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan identiti suspek boleh menyalurkan kepada Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2222,” ujarnya. – UTUSAN