MEKAH: Bakal jemaah haji Malaysia dinasihat membawa bekalan duit yang mencukupi di samping berjimat cermat ekoran berlaku kenaikan harga pada hampir kesemua barangan di Tanah Suci ketika ini.
Tinjauan mendapati harga barangan keperluan asas seperti sabun mandi, selipar, bercukur, syampu, jubah serta makanan telah mula naik dan akan melonjak menjelang tibanya musim haji.
Sebuku sabun mandi dijual pada harga 3 riyal (RM3.60) manakala set kebab ayam atau daging berharga 20 riyal (RM24).
Barangan cenderahati seperti tasbih, jubah, sejadah diukir nama, cincin dan kayu sugi masih boleh didapati pada harga ‘rahmah’ jika pandai memilih dan tidak termakan dengan mulut manis peniaga.
Namun ketika ini masih ada kedai yang menetapkan 10 riyal (RM12) untuk bercukur tetapi ia akan melonjak sehingga 20 riyal pada musim haji.
Bagaimanapun, harga bagi pakaian seperti jubah dan rida atau selendang masih berharga antara 70 riyal hingga 100 riyal manakala tasbih koka berharga 200 riyal dan ia masih boleh ditawar lagi sekiranya pandai berbahasa Arab.
Seorang pembantu jualan, Mufiz Mahmud Hussein, 55, berkata, harga jubah dan lain-lain barangan di kedainya kekal sama ketika ini atau musim haji.
“Kita mahu menarik ramai pelanggan. Harga pakaian mengikut kualiti dan jenis kain. Kalau makanan mungkin ada yang mahal kerana ia melibatkan pelbagai kos bahan mentah,” katanya.
Penjual cenderamata, Jalal Yusef, 21, pula berkata, semua barangan di kedainya dijual pada harga ‘rahmah’.
“Semua barangan 10 riyal dan kekal sehingga musim haji,” katanya yang berasal dari Yemen.
Kenaikan barangan itu berlaku ketika dan selepas dunia dilanda pandemik Covid-19 dengan rata-rata peniaga menaikkan harga jualan di atas pelbagai alasan terutamanya harga mahal yang diambil daripada pembekal.
Sementara itu, menyedari keadaan tersebut, Tabung Haji menyediakan mesin pengeluaran wang automatik dengan kerjasama Bank Islam bagi kemudahan jemaah mengeluarkan duit jika memerlukannya ketika berada di Tanah Suci.
Perkhidmatan pelanggan juga disediakan seperti kaunter penerangan berkaitan masalah hukum umrah dan haji, pertanyaan, kemudahan dobi, surau, bilik pantri, makanan dan lain-lain di kesemua hotel Tabung Haji di sini. – UTUSAN









