KUALA LUMPUR: Penerbit filem Tujuh Dua Belas, Shahrin Mohammad berharap kerajaan dapat menambah peruntukan untuk membantu pembikin filem mempromosi dan memasarkan filem menerusi radio atau televisyen (TV) tempatan.
Kata Shahrin, langkah tersebut dapat mengurangkan beban penerbit yang terpaksa menanggung kos yang besar untuk tujuan berkenaan.
“Antara cabaran paling besar dihadapi penerbit adalah untuk mengajak orang datang ke panggung menonton filem tempatan kerana kos pengiklanan dan pemasaran di media arus perdana seperti radio dan televisyen terlalu tinggi.
“Saya harap kerajaan dapat memberi sedikit peruntukan bagi membolehkan penerbit filem mengiklankan produk mereka di saluran radio dan TV milik kerajaan.
“Cara ini dapat meringankan beban penerbit yang menanggung perbelanjaan besar untuk tujuan itu,” katanya.
Dalam masa yang sama, Shahrin berterima kasih kepada kerajaan yang tampil membantu pembikin filem, drama dan kandungan kreatif menerusi Dana Kandungan Digital (DKD) yang baginya cukup bermanfaat untuk perkembangan industri seni tempatan.
“Ia adalah langkah yang sangat bagus dan cukup membantu penggiat untuk menghasilkan filem dan drama. Saya harap ia dapat diteruskan dan ditambah baik pada masa akan datang,” jelasnya.










