Tiada lonjakan jumlah pemilik mahu jual kenderaan diesel

Tiada lonjakan jumlah pemilik mahu jual kenderaan diesel

Aaron Kee
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan harga runcit diesel dilihat belum mencetuskan lonjakan ketara dalam kalangan pemilik kenderaan yang menggunakan bahan api itu untuk menjual kenderaan mereka.

Sebaliknya, syarikat jual beli kereta terpakai mendapati perubahan lebih jelas berlaku dari segi tingkah laku pengguna yang kini lebih berhati-hati dalam membuat keputusan sama ada untuk menjual atau menukar kenderaan.

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan CARSOME, Aaron Kee berkata, setakat ini kenderaan diesel masih mewakili sebahagian kecil daripada keseluruhan penawaran di pasaran.

“Dari segi data, kenderaan diesel kekal sebagai sebahagian kecil daripada keseluruhan penawaran, kurang daripada 10 peratus dan angka itu kekal stabil tanpa lonjakan ketara.

“Itu menunjukkan tidak berlaku peningkatan mendadak dalam kalangan pemilik yang ingin menjual kenderaan diesel sejak pelaksanaan subsidi bersasar pada Jun tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, perubahan yang lebih ketara adalah dari sudut tingkah laku pengguna yang cenderung menangguhkan keputusan untuk menjual atau menukar kenderaan dalam tempoh terdekat.

Aaron berkata, nilai jualan semula kenderaan diesel setakat ini masih stabil dan belum menunjukkan kejatuhan ketara secara menyeluruh.

“Namun, kami menjangkakan akan berlaku penyesuaian harga secara berperingkat khususnya dalam segmen pengguna yang mungkin terkesan dengan perubahan sentimen pembeli,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Jualan Abang Usedcar Sdn. Bhd., Ahmad Jamalludin berkata, walaupun peningkatan jualan semula belum terlalu ketara, terdapat perubahan daripada segi penerimaan pemilik terhadap harga pasaran.

“Pemilik 4×4 sekarang lebih mudah menerima harga jualan daripada pihak kami berbanding sebelum ini.

“Sebelum ini syarikat hanya memperoleh sekitar satu hingga dua unit kenderaan pacuan empat roda berkualiti sebulan namun dalam tempoh tiga minggu kebelakangan ini jumlah tersebut meningkat kepada lebih lima unit.

“Kebanyakan penjual terdiri daripada pemilik individu yang memilih untuk beralih kepada kenderaan petrol atau model lebih jimat kos, selain mengambil kira kesan had subsidi RON95 terhadap perbelanjaan bulanan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN