Badan penguatkuasaan perlu tingkatkan prestasi - PM - Utusan Malaysia

Badan penguatkuasaan perlu tingkatkan prestasi – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Badan penguatkuasaan negara diseru supaya mempertingkat dan memperbaiki prestasi bagi membanteras segala ketirisan ketika ini.

Seruan itu dilontarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Perdana Menteri berkata, laporan majlis tersebut menandakan badan penguatkuasaan perlu melakukan beberapa anjakan dan berusaha memperbaiki prestasi.

“Soal penyeludupan masih tinggi, minyak diesel hilang RM10 bilion setahun. RM10 bilion ini boleh baiki rumah penginapan, polis, tentera dan penjara.

“Jadi, saya minta badan penguatkuasaan jalankan tugas dengan baik,” katanya ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Kementerian Dalam Negeri Madani hari ini.

Bagaimanapun Anwar berkata, teguran beliau itu tidak bermakna badan penguatkuasaan tidak menjalankan tugas dengan baik sebelum ini.

“Selama ini institusi (penguatkuasaan) berjalan baik berbanding beberapa negara. Penguatkuasaan seperti jabatan imigresen, Jabatan Penjara, polis telah menjalankan tugas baik dan tingkatkan prestasi.

“Tapi dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara, saya sebut mustahil kita ada kerajaan baharu pendekatan baharu, tapi tiada anjakan, tiada perubahan, sama sahaja.

“Tukar kerajaan, tukar Perdana Menteri, bocor banyak itu juga, rasuah banyak, sakau jadi amalan. Siapa jadi Perdana Menteri, jadi Menteri Kewangan kaya-raya. Ini saya akan lawan habis-habisan.

“Jadi, saya minta bagi bekerjasama, terima kasih atas sumbangan dan khidmat anda. Ada yang tidak ternama dan tidak terukir dalam berita tapi khidmat itu tetap kita akui dan hargai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN