Trump tolak penilaian pengarah perisikan tentang Iran 

Trump tolak penilaian pengarah perisikan tentang Iran 

TULSI GABBARD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menolak penilaian Pengarah Perisikan Kebangsaan (DNI) yang dilantiknya sendiri, Tulsi Gabbard yang menegaskan Iran tidak secara aktif membangunkan senjata nuklear. 

Trump secara terbuka menyangkal laporan perisikan itu demi menegaskan sokongannya terhadap Israel ketika bercakap kepada wartawan di atas pesawat Air Force One awal pagi semalam sejurus tiba di Washington dari Sidang Kemuncak G7 di Kanada. 

“Saya tidak peduli apa yang beliau katakan. Saya fikir mereka sudah hampir memilikinya,” katanya.

Kenyataan itu merujuk kepada keterangan Gabbard di hadapan Jawatankuasa Perisikan Senat pada Mac lalu, di mana beliau menyatakan komuniti perisikan AS tidak mempunyai bukti Iran sudah mengaktifkan semula program senjata nuklear yang digantung sejak tahun 2003.

Laporan itu juga menjelaskan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei masih belum mengarahkan sebarang penyambungan program senjata nuklear tersebut.

Gabbard kemudian dilihat cuba meredakan persepsi perbezaan pandangan dengan Trump ketika wawancara bersama CNN.

“Trump sebenarnya menyatakan perkara yang sama seperti yang saya laporkan dalam penilaian ancaman tahunan pada bulan Mac. Malangnya, terlalu ramai di media tidak benar-benar membaca apa yang saya katakan,” katanya.

Gabbard yang sebelum ini lantang mengkritik dasar ‘perang selama-lamanya’ kekal berdiam diri malah mula diketepikan daripada perbincangan dasar penting apabila dilaporkan tidak dijemput ke sesi strategi di Camp David mengenai konflik antara Israel dan Iran.

Pendirian Trump menyokong tindakan ketenteraan Israel turut menimbulkan perpecahan dalam kalangan penyokong kuat gerakan MAGA, termasuk tokoh berhaluan kanan seperti Tucker Carlson dan Steve Bannon yang mengecam langkah tersebut dan memberi amaran agar AS tidak terheret ke dalam peperangan itu.

Naib Presiden, JD Vance cuba menenangkan kebimbangan penyokong Trump menerusi hantaran di X yang menegaskan beliau hanya akan menggunakan ketenteraan AS untuk memenuhi kepentingan rakyat. 

“Beliau mungkin mengambil tindakan lanjut untuk menghentikan pengayaan uranium Iran, tetapi beliau layak mendapat kepercayaan dalam isu ini,” katanya.

Laporan terkini Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) juga menyatakan tiada bukti kukuh Iran sedang membangunkan senjata nuklear, namun menyuarakan kebimbangan terhadap tahap pengayaan uranium Iran yang kini mencapai 60 peratus. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×