HULU LANGAT: Anak lelaki kepada pelakon terkenal, Allahyarham Ridzuan Hashim, Muhammad Dhanial,29, tidak dapat menahan sebak mengenangkan bapanya tidak sempat menghadiri majlis perkahwinannya yang bakal berlangsung akhir bulan ini.
Anak kedua daripada lima beradik itu dijadualkan melangsungkan perkahwinan pada 20 Mei ini di Tawau, Sabah.
Segala persiapan untuk majlis perkahwinan itu sudahpun dilakukan termasuklah membeli tiket penerbangan serta menyiapkan sepasang baju Melayu untuk Allahyarham di majlis itu nanti.
“Itu yang membuatkan saya rasa terkilan dan sangat sedih. Ayah ada beritahu, dia akan ikut ke Tawau untuk majlis pernikahan.
“Saya pun dah tempah tiket penerbangan dan siapkan baju untuk ayah. Memang rasa ralat sikit,” katanya dalam genangan air mata ketika ditemui Utusan Malaysia di masjid Al- Mustaqqin Batu 16, Hulu Langat, Selangor.
Berada di sisi bapa di hujung usia, Dhanial menyedari Allahyarham berubah sikap tidak bangun awal pagi seperti kebiasaan.
“Selalunya ayah akan bangun awal. Tapi hari ini pukul 7 pagi saya kejut dia tak bangun. Pukul 8 pagi pun tak bangun sehingga akhir ayah bangun pada pukul 11 pagi.
“Selepas itu seperti biasa ayah akan bersarapan dan sempat makan dua tiga suap sebelum dia tiba-tiba rebah,” katanya.
Ridzuan dilaporkan rebah di rumahnya di Bandar Tun Razak ketika sedang bersarapan dengan anaknya sekitar jam 11 hingga 12 tengahari tadi.
Allayarham kemudian digegaskan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum disahkan meninggal dunia.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor selepas solat Maghrib.
Semasa hayatnya Allahyarham pernah dinobatkan Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-9 menerusi filem Hati Bukan Kristal.
Bukan itu sahaja, Ridzuan juga pernah bekerja dengan produksi antarabangsa menerusi filem Don 2 bersama-sama Shah Rukh Khan dan filem Love & Death on Java oleh sebuah produksi dari Jerman.










