Anwar pertahan kenyataan isu dana judi

Anwar pertahan kenyataan isu dana judi

ANWAR Ibrahim (tengah) menyempurnakan pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur Ke-40 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (dua dari kiri). - MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahan kenyataannya berhubung dakwaan Perikatan Nasional (PN) memperoleh dana judi untuk berkempen semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Anwar berkata, beliau tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan sekiranya tidak mempunyai asas berhubung dakwaan sebelum ini.

Kata beliau, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meneliti secara lengkap kenyataannya terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Baca kenyataan benar-benar lengkap dan baharu ambil tindakan. Tapi, kalau dia nak bawa terus, silakan, saya tidak akan keluar kenyataan kalau tiada asas,” katanya selepas menyempurnakan pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur Ke-40 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh meminta Anwar memohon maaf selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggugurkan siasatan terhadap dana judi yang didakwa digunakan PN semasa kempen PRU15.

Mengulas lanjut, Anwar mengesahkan siasatan berhubung dana tersebut diteruskan dan melibatkan pelbagai agensi.

“Tentu (masih berjalan). Ia melibatkan banyak agensi. Bila dah ada bukti baharu, barulah akan diambil tindakan berikutnya. Biar agensi lain buat siasatan seterusnya,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan siasatan SPRM tidak dapat membuktikan dakwaan mengatakan PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU15.

Katanya, siasatan SPRM mendapati dakwaan itu terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu itu, sekali gus tiada fail siasatan dibuka.

Bagaimanapun, Azalina kelmarin tampil memberi penjelasan lanjut dan mengatakan jawapan bertulis itu tidak menyatakan siasatan SPRM berhubung dakwaan itu sudah dihenti atau digugurkan.

Susulan jawapan bertulis itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan gabungan berkenaan sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Anwar meminta sesiapa yang mempunyai cadangan untuk menukar menteri dan mengubah barisan Kabinet boleh mengemukakan padanya.

“Ada cadangan, sila tulis pada saya dan saya akan beri pertimbangan sebaiknya,” katanya diminta mengulas mengenai desas-desus Kabinet akan berubah sebaik sahaja selesai pilihan raya negeri (PRN). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×