Anwar jumpa 4 pemimpin ASEAN bincang pelaburan, kerjasama dua hala

Anwar jumpa 4 pemimpin ASEAN bincang pelaburan, kerjasama dua hala

PEMIMPIN ASEAN menghadiri sesi pemukiman sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2023 di Labuan Bajo, Indonesia, semalam. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, soal pelaburan dan kerjasama dua hala merupakan antara perkara disentuh dalam pertemuan beliau bersama empat pemimpin ASEAN bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di Labuan Bajo, Indonesia.

Empat pemimpin ASEAN tersebut ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh; Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone dan Perdana Menteri Timor Leste, Taur Matan Ruak.

Menurut Anwar, sewaktu kunjungan hormat ke atas Sultan Brunei, beliau menyampaikan hasrat Putrajaya selaku tuan rumah untuk melihat kehadiran dan keterlibatan Bandar Seri Begawan dalam Annual Leaders’ Consultation (ALC) tahun ini.

“Selain itu, diskusi juga terarah kepada bidang pelaburan, penandaan tanah, kerjasama dalam kebudayaan dan pendidikan untuk dimanfaatkan kedua-dua negara,” katanya dalam Facebook beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan, ketika pertemuan bilateral dengan Perdana Menteri Vietnam, Anwar sampaikan keterbukaan Malaysia menerima kehadiran delegasi mereka ke Putrajaya sempena ulang tahun ke-50 kedua-dua negara.

“Diskusi juga menyentuh bidang pelaburan selain berharap agar isu pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Malaysia dapat ditangani setegasnya,” kata beliau.

Selain itu, Anwar sempat mengadakan pertemuan dua hala dengan Sonexay Siphandone dan mereka sepakat untuk lebih bekerjasama dalam bidang perbankan, program latihan pegawai dan diplomat selain pendidikan serta industri agrikultur.

“Arakian, saya juga mengadakan pertemuan bilateral dengan rakan sejawat dari Timor Leste, Taur Matan Ruak dan saya mengulangi sokongan penuh berkaitan permohonan republik itu dalam keanggotaan keluarga ASEAN.

“Malah, diskusi juga membincangkan keperluan meningkatkan peluang kerjasama dalam pelaburan, perdagangan, agrikultur dan bidang pembuatan makanan yang menuntut kebersamaan serta komitmen berterusan kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, Anwar ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Pemimpin ASEAN bersama Perwakilan Belia ASEAN menegaskan ASEAN tidak boleh membiarkan isu peminggiran dan kemiskinan terus diketepikan, sebaliknya ia perlu diberi tumpuan agar masalah itu dapat diselesaikan.

Jelasnya, sebarang transformasi di rantau tersebut perlu bersifat inklusif dan tidak mengetepikan mana-mana pihak.

Beliau turut memuji komitmen yang ditunjukkan pemimpin belia ASEAN dalam mengetengahkan isu tersebut yang seharusnya mendapat perhatian semua pihak

“Saya kagum dengan komitmen dan kefahaman pemimpin belia kita bahawa apa-apa transformasi mesti inklusif. Datang daripada pengalaman saya semasa muda sebagai aktivisme pelajar, bahawa belia mesti menyatakan diri mereka dengan jelas dan penuh keberanian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×