Anak muda tawar urus jenazah percuma untuk golongan asnaf - Utusan Malaysia

Anak muda tawar urus jenazah percuma untuk golongan asnaf

SEBAHAGIAN sukarelawan Persatuan Van Jenazah Gua Musang (VJGM) yang aktif membantu menguruskan jenazah golongan asnaf di Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Sekumpulan sukarelawan anak muda menawarkan khidmat pengurusan jenazah secara percuma kepada golongan asnaf di daerah ini.

Pengerusi Persatuan Van Jenazah Gua Musang (VJGM), Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, peningkatan kos pengurusan jenazah yang mencecah sehingga RM1,500 mendorong pihaknya menyediakan perkhidmatan tersebut.

Menurutnya, tiga van jena­zah digunakan untuk membawa jenazah dari rumah atau hospital terus ke tanah perkuburan.

“Tidak mengira jarak perjalanan jauh atau dekat, kita memberi perkhidmatan percuma kepada golongan asnaf itu me­rangkumi urusan mandi jena­zah, kafan, solat, penghantaran dan pengebumian.

“Kami mahu memastikan tiada sebarang beban ke atas keluarga si mati dalam urusan pengebumian,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Jelasnya, tiga van itu diletakkan di Masjid Felda Chiku 5 dan akan bergerak ke lokasi selepas dimaklumkan tentang sesuatu kematian.

Katanya, sehingga hari ini sebanyak 666 kes kematian telah disempurnakan oleh VJGM.

“Kami beroperasi 24 jam setiap hari tanpa bayaran dan bergerak atas sumbangan orang ramai,” jelasnya.

Sementara itu seorang sukarelawan Mohd. Amirul Mohd. Sani, 25, berkata, sejak usia remaja dia sudah berminat untuk menguruskan jenazah.

Katanya, dia gembira apabila semakin ramai anak muda di daerah ini terlibat dalam tugas sukarelawan mengurus jenazah.

Orang ramai boleh menghubungi wakil VJGM di talian 014-3385427 atau menyalurkan sumba­ngan ke akaun Bank Muamalat, 03070000954712 atas nama Persatuan Pengurusan Jenazah Gua Musang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN