Anak hilangkan diri, ibu bapa diganggu ah long - Utusan Malaysia

Anak hilangkan diri, ibu bapa diganggu ah long

WANITA yang mahu dikenali sebagai Khong (dua dari kanan) dalam sidang akhbar mengenai ugutan ah long yang diterimanya di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sepasang suami isteri di Taman Desa Pengkalan di sini hidup dalam ketakutan kerana diganggu ah long akibat perbuatan anak lelaki mereka meminjam wang daripada pihak terbabit.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Khong, 54, berkata, dia diugut oleh ah long yang mahu membakar kediamannya selain menyimbah najis sekiranya dia tidak membayar wang pinjaman anaknya.

Menurutnya, dia terpaksa berdepan gangguan ah long selepas anak lelakinya yang berusia 31 tahun yang membuat pinjaman menghilangkan diri sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, selepas menghilangkan diri, ah long daripada tiga syarikat menghubunginya dan menuntutnya menjelaskan hutang.

“Kami menerima ugutan menerusi panggilan termasuk melalui aplikasi WhatsApp agar melunaskan pinjaman atau individu terbabit akan menularkan gambar wajah anak saya.

“Saya merayu kepada individu yang meminjamkan wang kepada anak saya supaya tidak mengganggu kami kerana kami sudah tidak berhubung dengan anak kami sejak dua tahun lalu.

“Sekarang saya sudah tiada wang, saya juga tidak tahu anak saya berada di mana,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, dia mengadakan sidang akhbar hari ini kerana tidak tahan dengan gangguan ah long selain sudah membuat laporan polis mengenai gangguan yang dialaminya.

Sementara itu, Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Ipoh Timur, Yeong Seng Hoong berkata, wanita berkenaan datang membuat aduan ke pejabatnya mengenai perkara itu Rabu lalu.

Menurutnya, pihaknya menasihatkan wanita itu supaya membuat laporan polis dan berharap siasatan polis dapat membantu keluarga itu.

“Ah long sepatutnya mencari orang yang membuat pinjaman dan bukan mengganggu ahli keluarganya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya