Akta bantu industri e-hailing digubal

Akta bantu industri e-hailing digubal

AHMAD Zahid Hamidi bersama peserta Karnival Kerjaya MyFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) 2023 Negeri Perak di Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Kerajaan berhasrat menggubal akta baharu bagi perniagaan berkaitan e-hailing khususnya dalam melindungi pekerja yang terlibat serta memberikan kemahiran semula untuk mereka yang sudah berusia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penggubalan itu dicadangkan selepas kerajaan mengadakan sesi libat urus dengan pihak yang terlibat dengan perniagaan tersebut.

“Saya telah berbincang dengan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar dan kita akan memperincikan akta ini. 

“Ini (bagaimanapun) akan mengambil masa yang agak panjang kerana ia melibatkan penglibatan Jabatan Peguam Negara, komen (pandangan) beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan yang terlibat dalam industri ini,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media yang turut dihadiri Sivakumar, selepas merasmikan penutupan Karnival Kerjaya MyFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) 2023 Negeri Perak di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, penggubalan akta itu akan dipastikan dapat memuaskan hati semua pihak dengan aspek terpenting dan asasnya adalah jaminan masa depan pekerja e-hailing.

Beliau menjelaskan, apabila pekerja e-hailing semakin berusia, maka kudrat mereka semakin berkurangan, justeru perlu ada program untuk memahirkan semula mereka khususnya jika berhasrat menceburi bidang pekerjaan lain.

Pada masa sama, maklumnya, perlindungan sosial juga harus diberikan kepada mereka bukan sahaja daripada aspek insuran tetapi juga kadar elaun dan manfaat lain.

“Dalam keadaan sekarang, mereka memperoleh lebih tinggi sedikit daripada gaji minimum tetapi mereka tiada kemahiran lain menyebabkan tidak diambil bekerja dalam sektor lain,” ujarnya.

Ditanya adakah undang-undang sedia ada terutama Akta Pengangkutan Awam Darat tidak dapat melindungi pekerja e-hailing, beliau memberitahu akta baharu bertujuan memperkukuh industri tersebut kerana ia adalah perniagaan baharu terutama selepas pandemik Covid-19.

Sementara itu, Sivakumar menjelaskan oleh kerana penggubalan akta mengambil masa untuk dikuatkuasakan, Kementerian Sumber Manusia kini sedang merangka dasar baharu berkaitan perniagaan itu terlebih dahulu khususnya dalam aspek keselamatan sosial.- utusan

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN