Air Empangan Muda menyusut

Air Empangan Muda menyusut

KAPASITI takungan Empangan Muda yang mencatatkan 58,750 ekar kaki atau bersamaan 47 peratus. -GAMBAR FAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Paras air di Tasik Gubir, Empangan Muda di sini yang menjadi antara sumber air bagi ke­gunaan domestik dan pertanian mengalami penyusutan ketara dipercayai akibat cuaca panas pada musim kemarau ketika ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di tasik berkenaan mendapati, da­sar tasik yang sebelum ini di­ge­nangi air menampakkan batuan selain bot-bot nelayan darat Ta­sik Gubir juga semakin ke te­ngah berbanding kedudukan asal bot itu ditambat.

Difahamkan, paras air yang sebelum ini berada di tebing tasik terbabit kini mengunjur kira-kira 20 meter ke bahagian tengah tasik disebabkan musim kemarau yang berpanjangan.

Sementara itu, semakan di por­tal MyWater Jabatan Pengai­ran dan Saliran (JPS) Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) memaparkan status Empangan Muda di tasik itu berada pada paras waspada.

Mengikut portal itu, aras sto­ran normal di empangan tersebut adalah 100.60 meter dan aras empangan yang dicatatkan setakat pukul 10 pagi hari ini adalah 95.01 meter dengan baki storan semasa adalah 51.25 peratus.

Pada 10 Mei lalu, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) selaku pengendali Empangan Muda memaklumkan kapasiti takungan terkini di situ adalah 55 peratus yang mencukupi dan mampu menampung keperluan sumber air pengairan bagi penanaman padi Musim 1/2023.

Malah, aliran air yang masuk ke takungan Empangan Muda itu juga disalurkan ke Empangan Pedu melalui Terowong Saiong sepanjang kira-kira 6.8 kilometer (KM) bagi pengairan tanaman padi.

Seorang nelayan darat yang hanya dikenali sebagai Razmi berkata, kawasan tebing di sekitar tasik itu semakin meninggi ekoran penyusutan paras air sejak kebelakangan ini.

“Selain musim kemarau, kami difahamkan air daripada empangan ini turut dilepaskan untuk menampung penyusutan air di Sungai Muda yang kering disebabkan kerosakan di pintu baraj lembangan sungai itu.

“Tetapi sebagai nelayan si­tuasi ini tidak terlalu menjejaskan kami, cuma dari segi cuaca kami perlu berhadapan keadaan panas dan haba yang kuat ketika keluar menangkap ikan setiap hari, tetapi ini pekerjaan kami. Mahu tidak mahu memang kena lakukan selagi ada kudrat,” katanya ketika ditemui semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengadakan tinjauan di Empangan Muda semalam berkata, kerajaan mengambil langkah proaktif sejak kelmarin hingga akhir September yang dijangkakan berdepan monsun barat daya untuk memastikan bekalan air terhadap sektor pertanian, domestik dan industri tidak terjejas teruk.

Beliau berkata, koordinasi bersama MADA yang mempunyai takungan yang setakat ini mencukupi untuk kegunaan dalam keadaan tertentu akan dilakukan selain bekerjasama dengan pihak-pihak lain bagi memastikan masalah bekalan air terkawal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN