Ahmad Samsuri ucap terima kasih kepada Perdana Menteri   - Utusan Malaysia

Ahmad Samsuri ucap terima kasih kepada Perdana Menteri  

ANWAR Ibrahim (tengah) disambut meriah pengunjung Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di UniSZA, Kuala Nerus, Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERUS: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta bagi membantu mangsa banjir di negeri itu.

Beliau berkata, peruntukan tambahan itu akan digunakan untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir yang belum menerima bantuan bencana tersebut sebelum ini.

Menurutnya, kebanyakan mangsa banjir terlibat merupakan mereka  yang tidak sempat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mendengar permasalahan (mangsa banjir) itu dan insya-Allah kita akan menyegerakan pembayaran kepada mangsa banjir berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini. 

Pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, semalam, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta untuk bantuan mangsa banjir di Terengganu.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat sebelum ini telah meluluskan peruntukan jumlah yang sama pada awal tahun lalu menjadikan peruntukan keseluruhan ialah sebanyak RM100 juta.

Ahmad Samsuri memberitahu, pihak agensi kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk pengagihan kepada mangsa banjir berkelayakan.

Bagaimanapun, katanya, peruntukan tambahan itu tidak membabitkan bantuan kepada mangsa banjir di daerah Besut kerana bayaran akan diselesaikan dengan peruntukan kerajaan nengeri.

“Sebaliknya, peruntukan tambahan itu hanya digunakan untuk menyelesaikan bantuan melibatkan pihak Pusat,” ujarnya.

Dalam kejadian banjir pada Disember tahun lalu, lebih 41,000 mangsa banjir terjejas dan ditempatkan di 315 PPS di semua lapan daerah di negeri itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya