KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditahan disyaki terlibat pergaduhan adik-beradik hingga mengakibatkan adiknya maut dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Signal Hill, Khamis lalu.
Dalam kejadian pukul 4.50 petang itu, kedua-duanya dipercayai bergaduh semasa ketiadaan ahli keluarga lain di rumah sehingga menyebabkan mangsa berusia 25 tahun cedera parah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, berdasarkan laporan bapa kepada adik-beradik tersebut, mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri akibat kecederaan yang dialami malah bahagian muka mangsa juga berdarah.
“Mangsa yang berada dalam keadaan kritikal dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) bagi mendapatkan rawatan.
“Si bapa mengesyaki anak lelakinya telah mencederakan mangsa semasa ketiadaannya di rumah. Suspek dan mangsa juga dikatakan sering bergaduh,” katanya di sini semalam.
Jelasnya, siasatan di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang objek atau senjata tajam yang mungkin digunakan suspek.
Menurut saksi kejadian iaitu jiran, saksi terdengar jeritan kuat dari rumah mangsa pada pukul 4.30 petang sebelum melihat suspek bertindak keluar dari rumah berkenaan.
Susulan laporan, polis menahan suspek pada pukul 8.15 malam hari sama.
Mohd. Zaidi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia semasa berada di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) HQE. Mayat mangsa dihantar ke unit forensik bagi mengetahui punca kematian.
Suspek yang berusia 26 tahun iaitu abang kandung mangsa ditahan reman selama empat hari sehingga semalam. – UTUSAN