9 termasuk 6 warga asing ditahan edar dadah - Utusan Malaysia

9 termasuk 6 warga asing ditahan edar dadah

MOHD. SHUHAILY Mohd. Zain (tengah) dalam sidang akhbar mengenai kekayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah di IPK Pulau Pinang, George Town hari ini. - Pix: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Seramai enam warga asing antara sembilan individu yang ditahan polis disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dalam beberapa serbuan di negeri ini pada 2 hingga 6 Mei lalu.

Dalam serbuan di pusat bandar, Ayer Itam dan Permatang Pauh itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM274,482 dipercayai untuk pasaran tempatan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, tangkapan pertama dilakukan pada 2 Mei lalu melibatkan sepasang suami isteri iaitu lelaki tempatan dan wanita Vietnam berusia 32 dan 34 tahun.

Ujarnya, mereka ditahan di sebuah rumah di sini kira-kira pukul 2.30 petang dan pemeriksaan di dalam rumah berkenaan menemukan pelbagai jenis dadah bernilai RM9,198.

Menurutnya, susulan penahanan kedua-dua suspek itu, polis membuat serbuan kedua pada hari yang sama kira-kira pukul 6 petang di Ayer Itam dan menahan sepasang suami isteri warga Vietnam berumur 40 dan 42 tahun.

”Antara dadah yang dirampas dalam serbuan ini ialah 490 biji pil ekstasi, pil eramin 5 sebanyak 240 biji, syabu (421.89g) dan ketamin seberat 48.12 g yang kesemuanya bernilai RM104,296,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Dalam siri tangkapan kedua pula, Mohd. Shuhaily berkata, polis menyerbu sebuah kedai mencuci kenderaan di Permatang Pauh, kira-kira pukul 5.05 petang, Jumaat lalu dan menahan tiga lelaki Myanmar berusia 22 hingga 26 tahun.

Dalam serbuan itu, tambah beliau, sebanyak 45 paket lutsinar dadah seberat 47 kilogram bernilai RM146,000 yang disimpan di dalam stor turut dirampas.

”Tiga suspek ini bekerja di situ dan dipercayai menyimpan bekalan dadah milik sindiket tersebut sebelum mengedarnya untuk pasaran di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT),” katanya.

Tambahnya, menerusi maklumat yang diperoleh, serbuan kemudian dilaksanakan secara berasingan di Perai dan Butterworth yang mana dua lelaki tempatan berusia 34 dan 46 tahun ditahan pukul 2 pagi, kelmarin.

Jelasnya, polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 1.81 kilogram yang bernilai RM14,988 daripada suspek terlibat.

”Susulan penahanan kesemua suspek polis turut menyita wang tunai, motosikal, kereta dan barangan kemas yang kesemuanya bernilai RM96,324,” katanya.

Dalam pada itu, ujar beliau, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua dadah yang dirampas jika terlepas ke pasaran boleh digunakan oleh 99,235 penagih.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd. Shuhaily berkata, polis berjaya menahan seorang lelaki dan dua wanita tempatan kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun menggunakan pisau pada 30 April lalu, di luar kedai dobi di Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah (SPT).

”Suspek berjaya ditahan ditahan di sebuah hotel di Butterworth pukul 5.15 petang, 4 Mei lalu dan menerusi penahanan mereka, kita yakin berjaya menyelesaikan tiga kes samun di dalam daerah SPT,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya