9 direman kes bunuh pengurus syarikat tegur payudara

9 direman kes bunuh pengurus syarikat tegur payudara

ANTARA suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang pengurus syarikat diiring keluar anggota polis selepas perintah reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sembilan individu ditahan reman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes bunuh seorang pengurus syarikat gara-gara menegur saiz payudara seorang wanita di sebuah kedai makan di Taman Kenanga, Tengkera, di sini, kelmarin.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman mengeluarkan perintah reman sehingga 16 Mei ini bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semua suspek termasuk seorang wanita berusia antara 20 tahun hingga 38 tahun tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan berpakaian lokap.

Terdahulu, seorang pengurus syarikat dilaporkan maut selepas ditikam dalam satu pergaduhan yang didakwa berpunca daripada tindakan mangsa yang menegur saiz payudara pelanggan wanita.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa yang berusia 35 tahun mati ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka dan laporan bedah siasat mengesahkan kematian disebabkan luka tikaman pada jantung.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku selepas si mati yang dalam keadaan mabuk ke kedai berkenaan untuk makan dan minum bersama rakannya.

Katanya, sebaik sahaja selesai makan, si mati bercakap dengan rakannya mengenai payudara seorang wanita dan perbualan mereka didengari oleh pengawal peribadi wanita berkenaan.

“Pengawal peribadi itu kemudian menegur sikap si mati dan memaklumkan wanita itu adalah majikannya. Berlaku pertengkaran mulut antara mereka berdua sehingga tolak-menolak dan tumbuk-menumbuk,” katanya.

Susulan itu, polis menahan tujuh suspek berusia antara 25 tahun sehingga 38 tahun dan merampas pisau serta batang besi yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN