6 individu ditahan bantu siasatan kes pergaduhan ketika kemalangan - Utusan Malaysia

6 individu ditahan bantu siasatan kes pergaduhan ketika kemalangan

TANGKAP layar video pergaduhan membabitkan keluarga mangsa kemalangan maut antara sebuah kereta dan sebuah motosikal di Tanjung Bungah, Pulau Pinang yang tular di media sosial hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Polis menahan enam individu bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan melibatkan ahli-ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Tanjung Bungah dekat sini, 8 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua individu berkenaan bagaimanapun telah diberikan jaminan polis.

Menurut beliau, video kejadian itu dikesan dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Alex Law kira-kira pukul 2 petang hari ini yang memaparkan kejadian kemalangan jalan raya dan pergaduhan melibatkan beberapa individu di tepi jalan.

”Hasil semakan yang dijalankan mendapati kejadian berlaku 8 Mei lalu kira-kira pukul 11.20 pagi di Jalan Loh Poh Heng, Tanjung Bungah.

”Pergaduhan berpunca daripada pertengkaran mulut antara ahli keluarga kedua-dua pihak yang terlibat dalam kemalangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menerusi video yang tular itu, terdapat sekumpulan individu bergaduh di lokasi kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal dan sebuah kereta.

Menurut Soffian, kemalangan melibatkan sebuah motosikal ditunggang oleh seorang wanita tempatan dengan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan.

”Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

”Kes kemalangan maut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun dan denda sehingga RM50,000,”katanya.

Tambahnya, kes pergaduhan disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (kesalahan merusuh) yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Katanya, siasatan juga dibuat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera) yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya.

”Pihak polis menasihati ramai agar tidak menularkan rakaman video kejadian tersebut untuk mengelakkan sebarang spekulasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya