200,000 warga Bangladesh tiada dokumen

200,000 warga Bangladesh tiada dokumen

Rakyat Bangladesh adalah warga asing paling ramai berada di negara ini mengatasi warga Indonesia dan Nepal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sejumlah 200,000 daripada 800,000 rak­yat Bangladesh yang mencari re­zeki di negara ini dikesan tidak mempunyai dokumen yang sah sehingga mengundang pelbagai masalah terutama kes imigresen.

Angka itu berdasarkan laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Ber­satu (UNDP) pada Julai 2020 yang mendedahkan jumlah warga Bangladesh yang tinggal di Malaysia ketika pandemik Covid-19.

Data Majlis Keselamatan Negara (MKN) pula setakat Mac tahun ini, warga Bangladesh berjumlah 453,363 orang menduduki carta teratas kumpulan pekerja asing paling ramai di negara ini berbanding 412,930 warga Indonesia

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Pengarah MKN, Datuk Rodzi Md. Saad berkata, jumlah itu, adalah 29.46 peratus daripada keseluruhan 1,538,893 pekerja asing negara ini. Warga Nepal seramai 307,552 pula menduduki tempat ketiga.

Malah beliau mendedahkan, terdapat juga insiden melibatkan warga Bangladesh mengeksploitasi kad UNHCR dan menya­mar sebagai pelarian Rohingya sebagai kaedah untuk menetap di negara ini.

“Terdapat kemungkinan bahawa 200,000 pekerja Bangladesh yang tidak mempunyai dokumen sah ini adalah terdiri daripada golongan melakukan kesalahan imigresen seperti ting­gal lebih masa, melarikan diri daripada majikan, tidak pulang ke negara asal selepas kontrak pekerja asing tamat (langgar syarat pas) dan kesalahan lain berkaitan keimigresenan.

“MKN dan Jabatan Perdana Menteri juga mengambil maklum terhadap beberapa insiden yang kini masih dalam siasatan agensi keselamatan berhubung terdapat warga Bangladesh yang mempunyai kad UNHCR dan mendakwa dirinya sebagai pelarian Rohingya,” katanya.

Pada 15 Mei lalu, akhbar ini mendedahkan lambakan diaspora Bangladesh ke negara ini yang menceroboh tanah-tanah rizab kerajaan di Pulau Me­ranti, Puchong sebagai kebun sayur haram.

Selain itu, mereka turut memonopoli sektor perniagaan di pasar-pasar borong, didorong oleh kelemahan dan ketirisan UNHCR dari segi kawal selia.

Laporan itu mendedahkan, ada kes peni­puan warga Bangladesh yang menyamar sebagai etnik Rohingya di Myanmar bagi mendapatkan kad pela­rian UNHCR dan berselindung sebagai pencari suaka politik di Malaysia.

Mengulas perkara itu, Rodzi berkata, UNHCR tidak harus ‘cuci tangan’ apabila berlaku lambakan pelarian dan pemohon suaka di negara ini dan meletakkan beban pengurusan pelarian semata-mata ke atas bahu kerajaan mahupun rakyat tempatan.

“UNHCR seharusnya bertanggungjawab dalam isu-isu membabitkan keberadaan pelarian di dalam negara ini. Kerajaan membenarkan golongan ini berada secara sementara di dalam negara, atas dasar kemanusiaan. Adalah tidak wajar kebenaran yang diberi ini disalahgunakan untuk melambakkan golongan ini di dalam negara.

“Pihak UNHCR perlu me­laksanakan tanggungjawabnya terhadap pelarian dan pemohon suaka yang berada di dalam negara selaras mandat dan fungsi penubuhannya dan tidak meletakkan beban pengurusan pelarian semata-mata terhadap kerajaan atau komuniti rakyat tempatan,” katanya.

Justeru, beliau menggesa UNHCR dan Organisasi Antarabangsa Bagi Imigran (IOM) meningkatkan usaha melaksanakan penempatan semula golongan pelarian di Malaysia ke negara ketiga.

“(Ini merujuk kepada) negara-negara yang menjadi ahli kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 (Konvensyen 1951) dan Protokol Mengenai Status Pelarian 1967 (Protokol 1967),” jelasnya.

Sejak Oktober 2022, akhbar ini konsisten mendedahkan dominasi warga asing di Pulau Meranti, Puchong terutama Indonesia dan Bangladesh yang meneroka tanah rizab kerajaan untuk membangunkan kebun-kebun sayur secara haram.

Siasatan mendapati, ada komuniti Bangladesh di Malaysia terima modal permulaan untuk berniaga di negara ini daripada bank-bank di Dhaka, malah ada kes di mana mereka menggunakan rangkaian yang dibina dengan ‘orang dalam’ di beberapa agensi untuk meneroka peluang-peluang perniagaan yang lazimnya membabitkan ‘ekonomi hitam’ di negara ini.

Berdasarkan tinjauan, didapati rangkaian dan dominasi Bangladesh turut menjalar ke pasar-pasar borong di Lembah Klang, dengan menjalinkan rangkaian bisnes bersama beberapa kartel tempatan sehingga mampu membolot tapak-tapak perniagaan di beberapa pasar borong terkenal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN