1,428 usahawan di Terengganu terima dana Tugas RM4.36 juta  - Utusan Malaysia

1,428 usahawan di Terengganu terima dana Tugas RM4.36 juta 

AHMAD Samsuri Mokhtar (tengah) menyampaikan Anugerah Tokoh Usahawan Terengganu kepada Aminudin Mat Yusof (dua, kanan) pada majlis AUT2022 di Kuala Terengganu, malam tadi. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 1,428 usahawan di negeri ini memperoleh dana sebanyak RM4.36 juta daripada Tabung Usahawan Sejahtera (Tugas) yang disediakan kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dari Januari hingga April lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tabung yang diperkenalkan itu bertujuan membantu meringankan beban usahawan di negeri ini.

Menurutnya, pada tahun lalu pula seramai 2,002 usahawan telah memperolehi dana Tugas berjumlah RM5.157 juta.

“Kerajaan akan terus bersedia membantu dan menyokong golongan usahawan melalui pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan dengan mengambil kira perkembangan ekonomi semasa demi memastikan lebih ramai usahawan dapat dilahirkan serta lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Usahawan Terengganu 2022 (AUT2022) di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, seramai 13 usahawan menerima AUT2022 mengikut kategori-kategori yang dipertandingkan.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif AIMS Global Engineering Sdn. Bhd., Aminudin Mat Yusof dipilih sebagai Tokoh Usahawan Terengganu.

Ahmad Samsuri menambah, kerajaan negeri juga berharap YPU dan agensi-agensi keusahawanan di bawah Urusetia Pembangunan Usahawan Terengganu (Peuter) menjadi nadi penggerak dan memainkan peranan penting dalam usaha pembangunan golongan usahawan.

“Adalah menjadi harapan saya, YPU dengan kerjasama Peuter dapat menganjurkan lebih banyak program dan menjalankan inisiatif-inisiatif secara kolaboratif bagi mempastikan usahawan Terengganu terus mendapat manfaat dan sokongan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman pula berkata, seramai 40 orang belia telah dipilih menyertai Program Usahawan Belia Sejahtera 3.0 (U-Bes) untuk membantu golongan muda mencipta kerjaya melalui keusahawanan pada tahun lalu.

“Peserta-peserta U-Bes itu telah meningkatkan jualan mereka kepada jumlah keseluruhan sebanyak RM3.9 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya