14 tahun ajar al-Quran guna Braille

14 tahun ajar al-Quran guna Braille

SITI ZAITUN Khazali menunjukkan sijil dan replika cek yang diterimanya pada Konvensyen KAFA Peringkat Kebangsaan 2023 di MITC, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kesabaran dan kecekalan seorang guru mengajar anak-anak istimewa mengaji al-Quran dan Pendidikan Islam menggunakan Braille melayakkan Siti Zaitun Khazali, 51, menerima Anugerah Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Cemerlang Kebangsaan.

Menurut guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Jabi, Pokok Sena, Kedah itu, dia tidak menyangka akan mendapat pengiktirafan tertinggi berkenaan kerana kehadirannya ke Konvensyen KAFA Peringkat Kebangsaan 2023 hanya sebagai peserta.

“Sebenarnya saya sendiri terkejut kerana tiada sesiapa pun yang memberitahu perkara sebenar. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ada menghubungi saya tetapi untuk mengesahkan kehadiran pada program tersebut.

“Apabila saya baca tentatif program, baru saya tahu akan menerima Anugerah Guru KAFA Cemerlang. Saya ingat akan dapat di peringkat negeri kerana penyelia ada memaklumkan saya mungkin akan menerima anugerah.

“Inilah pencapaian terbesar saya sepanjang berkhidmat selama 16 tahun. Saya jadikan kejayaan ini sebagai kenangan terindah dan akan berkongsi rezeki ini bersama anak-anak dan rakan,” katanya ketika ditemui pada Konvensyen KAFA di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambah Siti Zaitun, dia mengajar Murid Berkeperluan Khas (MBK) Braille sepenuhnya selama 14 tahun.

Katanya, mengajar pelajar istimewa ada cabaran tersendiri kerana menuntut banyak kesabaran ketika menyantuni golongan berkenaan.

“Tidak semua pelajar saya mempunyai masalah penglihatan kerana ada juga yang menghidap autisme dan lain-lain kategori. Kita kena pandai menggunakan pendekatan psikologi terhadap anak-anak ini.

“Kaedah pengajaran, pembelajaran dan aktiviti dijalankan sepenuhnya dalam Braille. Alhamdulillah, sepanjang saya mengajar ada pelajar yang mendapat keputusan 6A dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya