119 PPP tidak disambung kontrak, 800 bakal hilang kerja

119 PPP tidak disambung kontrak, 800 bakal hilang kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 119 Penolong Pembantu Perubatan (PPP) tamat kontrak selepas tidak mendapat sebarang hitam putih daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung pembaharuan kontrak.

Menurut sumber dalaman yang merupakan wakil komuniti Suara PPP Kontrak, lebih ramai berdepan risiko kehilangan pekerjaan susulan tiada berita mengenai pembaharuan kontrak bagi PPP walaupun telah mendapat jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada persidangan Parlimen yang lalu.

Difahamkan 119 pegawai tersebut merupakan mereka yang tergolong dalam fasa satu dan ada beberapa fasa yang melibatkan jumlah keseluruhan sehingga 800 individu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hari ini merupakan hari terakhir 119 pegawai itu akan bertugas. Berdasarkan surat tawaran mereka, 10 Mei tahun ini adalah tarikh akhir kontrak mereka dan walaupun mereka telah minta pengesahan daripada pihak KKM, sehingga hari ini masih tiada jawapan.

“Staf-staf kontrak ini adalah mereka yang daripada kolej swasta namun bidang kerja dan tugas mereka sama sahaja seperti PPP yang lain. Seperti tahun lalu, lewat juga kontrak mereka ini diperbaharui namun akhirnya sebelum tarikh tamat kontrak itu mereka telah mendapat surat tawaran.

“Berbeza dengan kali ini, kebanyakannya sangat yakin tidak akan tamat kontrak kerana telah mendapat jaminan perdana menteri namun sebaliknya yang berlaku. Ada kalangan mereka yang mempunyai keluarga, ada juga yang mendiami kuaters. Sekarang, agak kelam-kabut untuk mencari kerja dan rumah semua,” katanya ketika dihubungi.

Jelas sumber sama, beliau ada menghubungi pihak KKM untuk perjuangkan hal ini namun difahamkan KKM tidak dapat menyambung kontrak pegawai-pegawai itu kerana belum mendapat peruntukan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Pada waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Parlimen, Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin telah bertanya secara khusus kepada perdana menteri berkenaan nasib pegawai PPP.

Beliau minta supaya KKM memberi perhatian kepada mereka-mereka yang diambil bekerja secara kontrak berkelulusan daripada kolej swasta.

Menjawab perkara itu, Anwar berkata, beliau memberi jaminan sekiranya ada rekod yang diberhentikan tanpa sebab atau tidak disambung, pihak kerajaan akan mengambil tindakan supaya mereka dapat bertugas semula.

Jelasnya, dasar kerajaan tidak hanya tertumpu pada pihak doktor tetapi juga semua pegawai yang terlibat dalam kegiatan perubatan termasuk pembantu perubatan, pegawai farmasi dan klinik pergigian yang termasuk dalam kategori ini akan dilayan sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini