SABAK BERNAM: Kerajaan Negeri Selangor mengenal pasti lebih 10 pilihan tapak tanah di negeri ini sebagai proses penggantian tanah bagi pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemaju masih dalam proses penelitian termasuk nilai tanah yang bersesuaian dengan kos keseluruhan KSSA.
“Kita sudah buat tawaran (tanah itu) dan kini dalam proses akhir untuk dimuktamadkan. Kesemua tanah itu termasuk beberapa kawasan di Hulu Selangor dan Klang,” katanya di sini.
Jelas Amirudin, pembinaan kompleks itu hanya akan dimulakan selepas semua proses penggantian tanah selesai.
“Kita sememangnya turut bergantung kepada kemajuan proses berkenaan. Tindakan perobohan Stadium Shah Alam itu akan dijalankan kelak dan saya menjangkakan bermula tahun ini,” jelasnya.
Tambah beliau, pembinaan KSSA itu bukan hanya menumpukan perobohan stadium semata-mata malah melibatkan keseluruhan projek tersebut. – UTUSAN










