SEBELUM muncul budaya K-Pop dari Korea Selatan yang menjadi fenomena global, hakikatnya, Malaysia sudah terlebih dahulu mengeksport budaya keluar dengan nasyid yang dibawakan Raihan.
Namun, konsep muzik yang diperkenalkan kumpulan nasyid legenda sejak dahulu seperti elemen gendang, kompang dan vokal harmoni seperti makin dipinggirkan.
Menyedari tanggungjawab untuk mempelopori semula konsep sedemikian, hadir kumpulan nasyid, Zawfan yang memperkenalkan konsep menggunakan 100 peratus elemen tersebut tanpa sentuhan muzik moden.
Semuanya dilakukan atas dasar kecintaan dan kerinduan mendalam terhadap lagu-lagu nasyid dan dakwah yang dihasilkan dengan konsep sedemikian.
Tidak melihat ia sebagai langkah kebelakang, anggota kumpulan, Hafiz Tarmizi optimis dengan konsep diperjuangkan kerana mahu menghidupkan semula pengaruh besar nasyid dalam kalangan pendengar muzik.
“Dalam muzik, tiada istilah kedepan atau kebelakang. Pernah orang tanya kami, kenapa nak kebelakang semula ketika semuanya mahu ke depan?
“Tiada istilah begitu, soalnya kalau ke depan, apakah muzik yang dikatakan sebegitu? Sekarang ni, nasyid sudah terkebelakang disebabkan pengaruhnya sudah jauh ketinggalan,” katanya.
Mengulas lanjut, Hafiz yang masih merupakan anggota kumpulan Mirwana mempersoalkan sama ada pembaharuan yang cuba diperkenalkan oleh kumpulan nasyid sekarang dihargai mahupun diterima ramai.
“Kalau diterima apakah nilainya? Apa kayu ukurnya? Berbanding dulu adakah sama penerimaannya?
“Jadi rujukan tepatnya adalah Raihan kerana kejayaan muzik yang diperkenalkan sejak awal kemunculan sudah menjadi budaya dalam masyarakat kita. Lagu-lagunya masih diingati sehingga sekarang.
“Mana hilangnya bunyi Raihan dulu yang ada elemen gendang, kompang dan vokal harmoni? Kenapa tiada lagi kumpulan nasyid yang nak bawa konsep begitu? Disebabkan itu, kami hadir dengan konsep sedemikian,” jelasnya.
Zawfan hadir dengan buah tangan single kedua berjudul Bismillahir Rahmanir Rahim yang berkolaborasi dengan bekas vokalis Raihan, Nazrey Johani.
Meneruskan susunan muzik yang menggunakan 100 peratus perkusi, lagu dan lirik ditulis oleh Sirr Muhammad dan Hafiz sendiri.
Disoal pemilihan Nazrey, Hafiz berkata, tidak lengkap perjuangan mereka tanpa Nazrey kerana konsep yang dibawakan adalah yang diperkenalkan Raihan sejak dahulu.
“Nazrey penting kepada kami supaya dapat memberikan tunjuk ajar dalam penghasilan lagu dan supaya kedengaran mirip kepada lagu Raihan dengan corak muzik begitu.
“Kami hasilkan melodi baharu yang dibuat dengan vibes Raihan. Ada kompang, gendang dan vokal harmoni yang ringkas, mudah dan sederhana untuk didengar,” ulasnya.
HIBURAN BERKONSEP
Mengulas persetujuan berkolaborasi dengan Zawfan, Nazrey berkata, dia tidak pernah merasakan konsep muzik sedemikian sebagai ketinggalan zaman kerana nasyid mempunyai medium yang tersendiri.
Jelasnya, muzik adalah hiburan yang berkonsep dan tiada istilah ia dipandang rendah atau tinggi kerana nasyid yang asal berjaya mengangkat hasil karya tempatan ke mata dunia serta mendapat pengiktirafan paling tinggi.
“Dulu Raihan pernah berjaya sampai diterima ke luar negara. Sampai hari ini juga, kalau kita buat persembahan nasyid di Eropah, agak sukar mereka menerima muzik dengan gitar.
“Sebabnya, lagu nasyid asalnya bukan begitu. Kami juga bukan nak cakap muzik nasyid mesti begini. Tidak. Kami cuba nak berikan keyakinan kepada khalayak tentang ketenangan melalui penggunaan instrumen sebegini yang ada kekuatan, harga diri dan ‘mahalnya’ di situ,” katanya.
Nazrey berkata, kolaborasi bersama Zawfan juga sedikit sebanyak mengubat kerinduan paduan vokal berharmoni setelah tidak lagi bersama Raihan.
“Baru beberapa hari sibuk dengan Zawfan, saya sudah terbayang buat persembahan bersama sekali di atas satu pentas.
“Nasyid itu jelas yang sederhana dan sampai ke hati. Pasanglah lagu Raihan, orang ramai tetap akan cakap balik bila nak buat lagu sebegitu.
“Jadi, kami hendak kembalikan semula kemeriahan nasyid dengan konsep ini. Yakin bukan mudah, tetapi kami cuba tanamkan semula supaya ia dapat subur kembali,” katanya.
ZAWFAN
Selain Hafiz, Zawfan dianggotai oleh dua ahli lain iaitu, Fadzli Radzi dan Yasir Tarmizi.
Kumpulan yang ditubuhkan tiga tahun lalu, muncul dengan single pertama berjudul Rasul Kita yang diterbitkan pada 2021 dengan susunan muzik yang sama.
Dari sudut perkusi pergendangan, ia adalah hasil susunan pemuzik seperti Zufar Adzahan dan Fadzli Radzi.
Gabungan gubahan, susunan serta alunan vokal berharmoni di dalam kedua-dua lagu ini pasti mengimbau nostalgia pendengar nasyid di era 90an.
Melodi santai, ringkas dan lirik yang jelas serta rangkap korus yang berulang sememangnya menjadi resepi yang menjadikan lagu ini mudah untuk dinyanyikan setiap lapisan umur masyarakat.