PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merakamkan penghargaan atas keprihatinan Kerajaan Negeri Johor yang terus memberi fokus kepada pembangunan pendidikan dan kebajikan rakyat melalui pembentangan Belanjawan Johor 2026 bertemakan Bangsa Johor Sejahtera.
Belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 13 November lalu memberi tumpuan besar kepada aspek jaringan sosial dan kesejahteraan, khususnya buat golongan yang memerlukan.
Teras Ketiga iaitu Jaringan Keselamatan Sosial turut menekankan Inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) atau BKJ Anak Yatim yang merangkumi bantuan tunai dan simpanan pendidikan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).
Melalui inisiatif tersebut, seramai 12,307 anak yatim di negeri itu bakal menerima manfaat keseluruhan berjumlah RM24.6 juta bagi tujuan sokongan kewangan dan persediaan pendidikan masa depan.
Bantuan disalurkan menerusi tiga fasa pembayaran iaitu RM300 pada Disember 2025, RM300 pada Februari 2026, manakala baki RM1,400 akan dimasukkan terus ke dalam akaun Simpan SSPN sebagai simpanan pendidikan.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pengumuman itu membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan akses pendidikan berkualiti terus dinikmati semua golongan, khususnya anak yatim.
Menurutnya, langkah menyalurkan sebahagian bantuan melalui Simpan SSPN bukan sahaja menggalakkan budaya menabung malah membantu memperkukuh ekosistem pendidikan secara inklusif.
Katanya, usaha tersebut memberi peluang kepada pelajar kurang bernasib baik untuk merancang masa depan pendidikan tanpa dibebani kekangan kewangan.
“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap aspek kesejahteraan pendidikan dan kami di PTPTN amat menghargai sokongan yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan.
PTPTN turut menyambut baik usaha Kerajaan Negeri Johor menjadikan Simpan SSPN sebagai saluran utama pemberian insentif di bawah Belanjawan Johor 2026.
Norliza berharap lebih banyak kerajaan negeri dan agensi lain menjadikan Simpan SSPN sebagai instrumen utama dalam insentif pendidikan demi manfaat jangka panjang rakyat.
Katanya, rakyat Johor bertuah kerana mempunyai kerajaan yang sentiasa mengutamakan keperluan pendidikan anak-anak melalui pendekatan berteraskan nilai Madani.
Simpan SSPN menawarkan pelbagai kelebihan termasuk pelepasan cukai sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma bagi simpanan RM1,000 ke atas serta Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi keluarga layak.
Dengan dividen kompetitif, kepatuhan syariah dan jaminan kerajaan, skim itu kekal sebagai pilihan terbaik bagi merancang kewangan pendidikan generasi masa depan. – UTUSAN










