PETALING JAYA: Polis sedang memburu suspek wanita yang disyaki mencuri wang dari sebuah premis menjual pakaian terpakai di Selayang Baru, Gombak, dekat sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, video kejadian berkenaan tular dalam media sosial pada 25 April lalu.
Katanya, kejadian disedari pemilik premis terbabit ketika hendak mengira hasil jualan harian premis dan mendapati wang hasil jualan tiada di dalam laci simpanan wang.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang wanita dilihat mengambil sejumlah wang dari dalam laci simpanan wang premis berkenaan.
“Mangsa mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM700,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, polis kini sedang giat mengesan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Muhammad Ekhmal Nasir Khan di talian 013-3020385 atau Ibu pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222,” katanya.- UTUSAN