PETALING JAYA: Majlis Tertinggi (MT) UMNO memohon Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan penuh terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Najib sebagaimana kuasa yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MT juga sebulat suara bersetuju untuk memohon mengadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Seri Paduka Baginda beserta dengan memorandum ditandatangani seluruh kepimpinan UMNO daripada 191 Bahagian termasuk Wanita dan sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO.
Katanya, pihaknya telah menerima memorandum daripada 191 Bahagian termasuk Wanita dan sayap-sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri yang memohon agar kepimpinan tertinggi UMNO membela bekas Presiden dan Perdana Menteri itu yang banyak jasanya kepada rakyat dan negara.
“Majlis Tertinggi mengambil maklum kedukacitaan dan keresahan yang amat sangat ahli-ahli UMNO di akar umbi terhadap keputusan yang dilihat tidak adil.
“Ia seiring dengan kenyataan penghakiman dizahirkan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang turut menyatakan bahawa Datuk Seri Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil dan wajar dibebas dan dilepaskan,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat MT UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato Onn hari ini.
Pada minggu lalu, permohonan Najib untuk kebenaran menyemak semula kes SRC International ditolak oleh Mahkamah Persekutuan Putrajaya dengan keputusan majoriti 4-1.
Ini bermakna usaha terakhir bekas Perdana menteri itu gagal dan dia akan menjalani baki tempoh hukuman penjara 12 tahun ke atasnya melainkan mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon diberi kebenaran menyemak keputusan rayuan akhirnya oleh panel yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Tuan Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lalu dan jika dibenarkan, memohon perintah supaya dibebaskan atau secara alternatif, rayuan akhirnya didengar panel lain.
Sementara itu, Asyraf Wajdi memaklumkan, mesyuarat MT UMNO pada hari ini telah menetapkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun 2023 akan diadakan pada 7 hingga 10 Jun ini.-utusan










