UMNO gagal tarik sokongan Melayu

UMNO gagal tarik sokongan Melayu

ABDUL AZIZ BARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peranan UMNO menarik sokongan orang Melayu masih tidak jelas memandangkan peranan tersebut kini dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Aziz Bari berkata, ia berdasarkan rekod Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) apabila pada peringkat awalnya undi PN dijangka meleset, namun yang berlaku adalah sebaliknya.

Katanya, UMNO dilihat hanya menumpang kepada kekuatan PH kerana kelangsungan parti itu semakin pudar.

“Saya tengok sebenarnya UMNO lebih kepada untuk hidup, survival dia, namun kemampuan dia masih lagi dipersoalkan dan kita belum pasti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti. Kita boleh cakap UMNO hanya tumpang PH untuk dapatkan jawatan, kerana dengan ada jawatan barulah parti boleh bergerak.

“Tetapi untuk PRN, peranan UMNO masih belum nampak kerana sokongan Melayu kita lihat banyak pergi kepada PN, bukan UMNO. Dan pengundi bukan Melayu pula khususnya semua bimbang dengan tindakan ekstrem PN itu. Tetapi hikmahnya undi bukan Melayu ‘solid’ kepada PH, jadi peranan UMNO itu yang masih kita tidak nampak setakat ini,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Rekod PRU-15 sebelum ini menunjukkan prestasi cemerlang PN dengan meraih sokongan Melayu khususnya di luar bandar terhadap PN.

Malah, beberapa kerusi tradisi UMNO juga banyak yang tewas sehingga beberapa negeri tersungkur ke tangan PN.

Ditanya adakah DAP mempunyai masalah dengan UMNO sejak kerajaan perpaduan ditubuhkan, Aziz berkata, ia bukan persoalan utama yang perlu menjadi fokus kerana isu paling penting adalah tugas dan prestasi yang perlu diberikan kepada rakyat.

“Mulut orang memang kita tidak boleh tutup, tetapi bukan itu isu utama yang perlu diperbesarkan, isunya menteri DAP dalam tempoh 100 hari, semuanya menunjukkan prestasi yang baik.

“Baik Anthony Loke, Menteri Pengangkutan, Hannah Yeoh Menteri Belia dan Sukan, Nga Kor Ming Menteri Perumahan, semuanya menunjukkan prestasi yang cemerlang.

“Kalau mahu cakap pasal isu ada masalah dengan UMNO, DAP juga menunjukkan semangat setiakawan dengan memberi laluan kepada UMNO yang mempunyai jumlah kerusi yang sedikit di Perak untuk menjadi Menteri Besar, dalam keadaan sepatutnya jawatan itu DAP boleh tuntut sebab kita memiliki kerusi yang lebih banyak, apa lagi yang tidak puas hati?” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×