Ujian teori lesen vokasional PSV, GDL dimansuh

Ujian teori lesen vokasional PSV, GDL dimansuh

ANTHONY Loke bercakap dalam sidang akhbar penambahbaikan industri e-hailing dan teksi di Kementerian Pengankutan, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ujian teori bagi Lesen Vokasional iaitu Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) dimansuhkan berkuatkuasa serta-merta.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, serentak keputusan itu, kelas teori bagi Lesen Vokasional pula boleh dilaksanakan secara atas talian.

“Ini bermakna pemandu PSV dan GDL hanya perlu menduduki dan melengkapkan kelas teori sahaja sebelum dikeluarkan Lesen Vokasional.

“Bagaimanapun, calon bagi kategori Lesen PSV untuk bas dan GDL bagi Lori Bersendi pula, mereka masih wajib melalui latihan dan lulus ujian amali atau praktikal sebelum mendapat Lesen Vokasional,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Katanya, pelaksanaan kelas teori bagi Lesen Vokasional akan dilaksanakan sama ada menerusi platform Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau syarikat perniagaan pengantaraan yang dikawal selia JPJ.

Loke berkata, JPJ akan menetapkan syarat dan peraturan berkaitan penyediaan platform atas talian bagi memastikam kesahihan dan integriti calon, manakala data kehadiran calon akan diintegrasi dengan sistem MySIKAP.

Menurutnya, silibus kelas teori bagi Lesen Vokasional melibatkan perkhidmatan e-hailing dan teksi akan disemak serta ditambah baik oleh JPJ dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dengan bantuan input daripada pihak industri.

“Keputusan memansuhkan ujian teori Lesen Vokasional diharap dapat menambah jumlah pemandu teksi dan e-hailing di atas jalan raya sekali gus menstabilkan harga tambang perkhidmatan itu,” katanya.

Mengulas mengenai lanjutan had usia teksi dan e-hailing kepada 15 tahun pula, Loke berkata, dasar kenaikan itu terpakai bagi semua kenderaan e-hailing di seluruh negara dan semua teksi di Semenanjung Malaysia termasuk teksi biasa, teksi lapangan terbang dan teksi mewah.

“Had usia melesen akan dikemas kini kepada 14 tahun dan mana-mana kenderaan yang hendak dilesenkan mesti memperbaharui setahun sebelum had usia 15 tahun.

“Bagaimanapun, penggunaan teksi dan e-hailing adalah sentiasa tertakluk kepada kelulusan pemeriksaan berkala untuk memastikan hanya kenderaan yang mematuhi syarat teknikal dan ciri keselamatan sahaja akan dilesenkan,” katanya.

Sebelum ini, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memutuskan had usia penggunaan kenderaan bagi teksi dan e-hailing dinaikkan sehingga 15 tahun bermula 1 Januari lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya