IPOH: Selepas tujuh hari bertarung nyawa, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang sebelum ini dilaporkan lemas selepas terjatuh ke dalam kolam renang sebuah taska, akhirnya menghembuskan nafas terakhir hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat kematian kanak-kanak itu pada pukul 12 tengah hari tadi selepas dimaklumkan pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
“Kejadian berlaku pada Isnin lalu di sebuah taska di Bandar Baru Sri Klebang, Chemor di mana ia merupakan hari pertama ibu mangsa menghantar anaknya ke sekolah.
“Menurut pihak taska, ibu mangsa tidak menyertakan sebarang surat yang menyatakan mangsa ialah seorang kanak-kanak autisme.
“Walau bagaimanapun, pihak taska telah bersetuju memberi peluang kepada ibu mangsa untuk menempatkan mangsa sebagai murid percubaan dalam tempoh dua jam,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, semasa berada di taska, mangsa dikatakan seorang kanak-kanak yang terlalu aktif dan suka memanjat.
Katanya, mangsa yang disedari hilang kemudian dijumpai di dalam kolam renang dewasa pada pukul 10.20 pagi dan segera dibawa keluar dari kolam dengan diberi bantuan pernafasan (CPR).
“Mangsa dihantar segera ke hospital dan pembedahan dijalankan ke atasnya pada Selasa lalu sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HRPB.
“Kanak-kanak itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia hari ini. Bedah siasat ke atas mayatnya telah pun dilakukan dan punca kematian akibat mati otak disebabkan lemas dan kegagalan fungsi organ,” katanya.
Tambahnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan akan merujuk kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya. – UTUSAN