Tiga individu termasuk CEO perbadanan direman SPRM

Tiga individu termasuk CEO perbadanan direman SPRM

TIGA individu termasuk CEO perbadanan direman SPRM kerana disyaki menerima suapan berjumlah kira-kira RM600,000.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah perbadanan berkaitan kerajaan ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima suapan kira-kira RM600,000.

Difahamkan, rasuah itu bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan tender berkaitan kerja menaik taraf sistem mekanikal dan elektrikal yang merupakan sebahagian daripada projek berjumlah lebih RM15 juta untuk menaik taraf bangunan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 39 tahun hingga 54 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 8 malam semalam ketika hadir memberikan keterangan.

“Suspek pertama yang juga seorang CEO berusia 52 tahun itu dipercayai menerima suapan berjumlah kira-kira RM600,000 daripada sebuah syarikat melalui suspek kedua dan ketiga sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek kerja menaik taraf.

Timbalan pendakwa raya telah memohon reman selama tujuh hari namun setelah mendengar hujahan dari peguambela ketiga-tiga suspek, mahkamah membenarkan tahanan reman  empat hari.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan ketiga-tiga suspek disiasat di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009.

Peguam, Mohamed Ashmeer Mohamed Ashrof yang dihubungi Utusan Malaysia berkata, beliau telah dilantik untuk menjadi peguambela bagi ketiga-tiga suspek dalam memberi nasihat undang-undang kepada mereka sebagai persediaan untuk prosiding kes sekiranya dipanggil ke mahkamah untuk membela diri.

“Setakat ini tiada sebarang arahan lanjut untuk menuduh suspek-suspek dalam kes ini,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN