Tiga dekad Tok Wan berlakon iklan raya - Utusan Malaysia

Tiga dekad Tok Wan berlakon iklan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN dua dekad sudah berlalu, iklan raya Petronas berjudul Al-Kisah Janda Beranak Tujuh pada 2003 masih segar dalam ingatan ramai.

Keletah tujuh beradik yang terlupa membeli daging, limpa dan hati lembu yang dipesan oleh ibunya menyebabkan mereka terpaksa mencari jalan memenuhi kehendak wanita itu.

Walaupun barangan tersebut sudah habis dijual di pasar, mereka berusaha mencari jalan dengan membawa pulang seekor lembu untuk disembelih.

Berlatarbelakangkan lagu Apa Dah Jadi nyanyian arwah Tan Sri SM Salim, kepulangan mereka dengan haiwan tersebut menyebabkan ibu mereka lakonan Tok Wan jatuh pengsan.

Tok Wan atau nama sebenarnya Halimah Alias, 71, sangat sinonim dengan iklan raya di negara ini. Masakan tidak, hampir 38 tahun dirinya membintangi pelbagai iklan komersial melibatkan jenama besar.

Namanya menjadi pilihan syarikat korporat dan tidak keterlaluan untuk menobatkan Tok Wan sebagai ratu iklan di negara ini.

Tok Wan secara peribadi menyifatkan iklan Petronas arahan arwah Yasmin Ahmad merupakan naskhah paling mencuit hati sepanjang menceburi bidang seni.

“Sebenarnya tak sangka iklan itu bagi kesan besar pada penonton disebabkan orang ramai suka dengan jalan ceritanya. Skrip sentuhan Yasmin memang mempunyai magis tersendiri,” katanya.

Sebutlah mana-mana syarikat korporat, wajah Tok Wan sentiasa menjadi pelaris iklan komersial sempena sambutan perayaan di negara ini.

Disebabkan itu, dia tidak pernah mempunyai sebarang masalah tentang soal bayaran berbanding artis veteran lain yang kerap mengutarakan masalah tersebut.

“Bukan nak cakap besar, tapi kalau setakat RM300 hingga RM500 memang saya tak akan ambil tawaran itu. Lebih baik saya beri peluang pada artis veteran lain yang tidak mempunyai tawaran lakonan,” katanya.

KENANGAN YASMIN AHMAD

Menceritakan pengalaman bekerjasama dengan Yasmin, Tok Wan berkata, arwah adalah pengarah yang tiada tolok bandingnya.

Sikapnya yang disenangi ramai, merendah diri dan lemah-lembut membuatkan dia sangat merindui suasana bekerja bersama Yasmin.

“Cara dia mengajar pun sangat santai, tak cerewet, tak kasar dan tidak pernah menyebabkan kami ada rasa perbezaan taraf walaupun dia seorang pengarah. Arwah sangat peramah dan fleksibel ketika bekerja.

“Masa rehat dia akan duduk makan bersama pelakon dan kru lain. Kalau dia lihat kita tak makan lauk yang sudah diambil, dia sendiri tanpa segan-silu akan jamah lauk kita,” katanya.

Mengulas skrip hasil sentuhan Yasmin yang sering disebut meninggalkan impak, kata Tok Wan, arwah sering menghasilkan skrip yang diadaptasi daripada realiti kehidupan sebenar.

Disebabkan itu, katanya, mudah bagi pelakon menterjemahkan skrip tersebut ke dalam lakonan dengan sepenuh penghayatan.

“Teringat masa berlakon filem Gubra. Ada satu babak di hospital yang membuatkan saya perlu menangis. Memang saya menangis betul masa itu dan arwah datang lapkan air mata saya yang jatuh berjurai.

“Dia datang dan peluk saya masa itu. Belum pernah pengarah lain buat seperti ini. Dia tak anggap kami sebagai pelakon tetapi sebagai sebuah keluarga. Sebab itu, naskhahnya lain daripada lain,” katanya.

SIBUK DRAMA

Ibu lima anak ini memberitahu, dia asalnya bekerja sebagai seorang kerani di syarikat Nestle dan membuat kerja sampingan dengan berlakon iklan.

Katanya, pihak syarikat tidak pernah melarang dirinya menceburkan diri dalam bidang pengiklanan kerana dia juga terlibat menjayakan iklan dengan majikannya,

“Saya ini bermula dengan teater dan pernah buat sketsa antidadah di Nestle.

“Syarikat tak larang saya buat kerja lain sebab kadang-kadang mereka juga panggil saya berlakon untuk iklan,” tuturnya.

Menceritakan detik mula terjebak dengan iklan, Tok Wan berkata, dia sangat berterima kasih dengan pelakon veteran, Kismah Johar yang merupakan individu pertama memberikan nombornya pada pihak agensi.

“Dialah orangnya yang bagi nombor telefon saya pada pihak agensi. Saya pernah juga cakap, tetapi dia pun sudah lupa tentang perkara itu,” katanya.

Walaupun wajahnya sudah sebati dengan iklan raya setiap tahun, Tok Wan yang berasal dari Sungai Jai, Beranang, Selangor berkata, tahun ini dia tidak dapat memberikan komitmen tersebut.

Katanya, penglibatan dengan drama baharu berjudul Nyawa Bertukar Cinta yang memerlukan dirinya berulang-alik ke Kuantan, Pahang, menyebabkan dia terpaksa menolak tawaran iklan buat sementara waktu.

“Saya terlibat hampir 15 episod dan kebanyakan babak di Kuantan. Kalau di Kuala Lumpur boleh juga saya terima tawaran iklan.

“Saya agak jarang terlibat dengan drama atau filem kerana sejak 1985 hingga sekarang memang banyak terlibat dengan iklan komersial,” katanya.

RENDANG KAMBING

Menjengah usia 71 tahun, Tok Wan bersyukur kerana tidak menghidap sebarang penyakit kronik dan masih larat bekerja seperti biasa.

Melainkan katanya, hanya penyakit-penyakit yang sering dihidapi orang tua seperti darah tinggi dan kencing manis yang masih berada dalam kawalan.

Tok Wan juga masih larat ke dapur untuk memasak apatah lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri sudah pasti anak-anak mahu merasa air tangannya.

“Atas meja wajib ada nasi impit, rendang ayam, daging dan paling istimewa adalah rendang kambing. Itu adalah menu kesukaan satu keluarga dan saya selalu masak dengan Pak Wan (suami).

“Tahun ini saya akan beraya di rumah anak di Putrajaya dan semua akan berkumpul di sana,” katanya yang menetap di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN