Tidak wajar tarik keluar cecair vape daripada Akta Racun

Tidak wajar tarik keluar cecair vape daripada Akta Racun – Pemuda UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa menarik semula keputusan mengeluarkan cecair vape mempunyai nikotin daripada Akta Racun yang disifatkan satu tindakan yang tidak wajar dan bijak pada ketika ini.

Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh menegaskan, ketetapan itu perlu dinilai sehinggalah Parlimen meluluskan satu Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang akan mewujudkan Generasi Penamat Rokok dan Vape yang lahir selepas tahun 2007.

DR. MUHAMAD AKMAL SALEH

Beliau menjelaskan, langkah itu supaya kesan buruk jangka masa panjang akibat penggunaan vape terhadap kesihatan rakyat dapat dikurangkan.

“Rasional terhadap cadangan ini adalah Akta GEG perlu dilaksanakan terlebih dahulu, barulah kerajaan wajar mengeluarkan cecair vape yang bernikotin ini daripada Akta Racun.

“Ia agar cukai tinggi boleh dikenakan ke atas pengguna tidak tergolong di dalam generasi penamat untuk mengurangkan kadar penggunaan vape dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, penarikan cecair yang mempunyai nikotin daripada Akta Racun ini seolah lesen besar untuk membenarkan rakyat Malaysia tanpa mengira umur untuk mengambil nikotin tanpa sebarang bentuk garis panduan. 

“Kebimbangan Pemuda UMNO Malaysia sekiranya tiada garis panduan yang jelas, ia memberikan kesan yang besar khususnya kepada golongan muda untuk terdedah kepada pengambilan nikotin tanpa kawalan,” katanya.

Jelas Dr. Muhamad Akmal, pihak Pemuda UMNO berpendirian tegas agar cadangan yang dikemukakan itu dapat dipertimbangkan secara serius oleh Kementerian Kesihatan.

Beliau menegaskan akan menyerahkan surat berhubung perkara ini dan menyatakan bantahan serta cadangan kepada Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan.

Katanya, mengeluarkan cecair vape yang mempunyai nikotin dari Akta Racun supaya boleh dikenakan cukai semata-mata bukanlah satu tindakan yang wajar dan bijak pada ketika ini.

“Benar sebelum ini, kesemua cecair vape tidak dapat dikenakan cukai atas sebab cecair vape yang mempunyai nikotin ini berada di dalam senarai Akta Racun.

“Akan tetapi implikasi terhadap kesihatan rakyat dalam jangka masa yang panjang adalah jauh lebih penting dari keuntungan yang diperoleh hasil dari pungutan cukai ke atas cecair vape ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya