Tiada bukti Syed Saddiq subahat pecah amanah dana RM1 juta Armada - Peguam

Tiada bukti Syed Saddiq subahat pecah amanah dana RM1 juta Armada – Peguam

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi penghujahan kes subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA). - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, tiada bukti menunjukkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersubahat dengan Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dana RM1 juta milik Armada.

Peguam Gobind Singh Deo sebaliknya berhujah, bukti keterangan kes menunjukkan kedua-dua bekas pemimpin Armada itu pada setiap masa bertindak demi kepentingan sayap parti tersebut selaras dengan Perlembagaan Bersatu.

Hujah beliau, bagi mengukuhkan kes, pihak pendakwaan terlebih dahulu perlu membuktikan Rafiq Hakim (saksi pendakwaan ke-13) menyalahgunakan dana RM1 juta bagi mengaitkan bekas Ketua Armada Bersatu itu atas dakwaan bersubahat.

Bagaimanapun, Gobind menghujahkan, ketiadaan bukti bahawa Rafiq Hakim menyalahguna dana Armada menjadikan tuduhan bersubahat yang dihadapi oleh Syed Saddiq tidak kukuh.

Menurut peguam bela, keterangan yang dikemukakan sebaliknya menjurus kepada fakta bahawa wang RM1 juta yang dikeluarkan pada 6 Mac 2020 selaras dengan objektif Bersatu antaranya membela kebajikan rakyat.

Ujarnya, Perkara 4.2 Peraturan Armada menyatakan bahawa tujuan penubuhan sayap parti itu bagi menganjurkan aktiviti untuk mencapai tujuan dan matlamat Bersatu.

Hujah Gobind, wang RM1 juta itu disalurkan bagi membantu rakyat ketika wabak Covid-19 melanda negara selain untuk bantuan pada bulan Ramadan dan persediaan hari raya.

Sehubungan itu, pihak pembelaan menghujahkan, dana itu tidak pada bila-bila masa berada dalam kawalan langsung Syed Saddiq atau dibelanjakannya secara peribadi.

Gobind selanjutnya berhujah, pihak pendakwaan tidak pernah mencadangkan bahawa Rafiq Hakim melakukan pecah amanah dana tersebut walhal perkara itu amat penting bagi mengaitkannya dengan pertuduhan terhadap Syd Saddiq.

Hujah Gobind, Syed Saddiq tidak terbeban untuk membuktikan dirinya tidak bersalah, sebaliknya pendakwaan yang perlu menanggung perkara itu dalam usaha membuktikan kes tertuduh melampaui tahap keraguan munasabah.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan esok bagi mendengar penghujahan pihak pendakwaan. Pada 14 Mac lalu, pihak pembelaan dalam kes Syed Saddiq menutup kesnya selepas mengemukakan keterangan empat saksi pada prosiding bela diri yang bermula pada 22 Februari lalu.

Selain Syed Saddiq yang juga Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), saksi-saksi lain terdiri daripada bekas pegawai khasnya, Mohamed Amshar Aziz, bekas Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamudin dan bekas setiausaha peribadinya, Siti Nurul Hidayah.

Syed Saddiq, 30, didakwa atas empat pertuduhan iaitu bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA). Mengikut pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana Armada berjumlah RM1 juta.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN