PONTIAN: Pasangan suami isteri yang mengusahakan perniagaan membuat ketupat tidak menyangka permintaan pada tahun ini meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu.
Saharuddin Kamijan, 58, dan isteri, Wan Yusmawati Bakar, 46, kini bertungkus lumus menyiapkan tempahan sebanyak 4,000 biji ketupat yang akan mula diambil oleh pelanggan pada petang atau malam sambutan hari raya.
Ekoran permintaan meningkat, mereka terpaksa menolak tempahan pada saat-saat akhir kerana bimbang tidak dapat menyiapkannya disebabkan ketiadaan penganyam ketupat yang berkemahiran.
Selain isterinya, kerja-kerja menganyam ketupat turut dibantu oleh dua anaknya, seorang menantu dan seorang jiran yang akan mengambil tempoh masa lima hari untuk disiapkan.
“Tempoh lima hari memadai untuk menganyam, sekiranya terlalu awal, kelongsong ketupat akan menjadi kecut dan jika terlalu lewat akan menyebabkan masa tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Parit Serong, Sanglang, di sini.
Saharuddin berkata, biasanya kerja-kerja merebus ketupat akan mengambil masa enam jam bagi memastikan juadah itu betul-betul masak dan tidak terlalu lembik apabila dipotong.
“Tahun ini merupakan tahun ke lima kami menjalankan perniagaan membuat ketupat bagi mencari pendapatan tambahan pada bulan puasa, manakala hari-hari biasa, kami membuka perniagaan menjual sup gear box,” katanya sambil memberitahu bagi 1,000 biji ketupat memerlukan 50 kilogram beras.
Dia masih mengekalkan harga lama, iaitu RM1.40 sebiji sejak lima tahun lalu . “Saya masih menjualnya dengan harga lama bagi ketupat yang siap direbus walaupun ada setengah pengusaha di daerah ini yang menjualnya dengan harga RM1.80 hingga RM2 sebiji,” katanya.-utusan








