KOTA KINABALU: Laporan tragedi Double Six yang didedahkan kepada umum kelmarin harus diterima dengan baik dan tidak perlu timbul lagi sebarang polemik mengenai nahas pesawat yang mengorbankan nyawa 11 individu termasuk Ketua Menteri Sabah pada 6 Jun 1976 itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Hisham Ampongou Abdullah berkata, laporan itu telah melalui proses yang sepatutnya maka ia harus dihormati.
“Sekarang kalau masing-masing tidak berpuas hati tentang laporan berkenaan, takkan kita perlukan satu lagi siasatan. Sebelum ini Ketua Menteri telah menyatakan kerajaan menerima apa juga dapatan daripada laporan berkenaan. Jadi, kita perlu terima hasil laporan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Yong Teck Lee berkata, keluarga mangsa hanya boleh ‘tutup buku’ mengenai tragedi tersebut selepas membaca laporan lengkap yang dikeluarkan oleh Kerajaan Australia.
“Harap kita baca laporan lengkap daripada Australia dalam masa terdekat,” katanya.
Rabu lalu,, laporan tragedi Double Six mendedahkan bahawa tidak wujud unsur sabotaj sebaliknya, punca nahas adalah disebabkan pesawat hilang kawalan semasa juruterbang mahu mendaratkan pesawat.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Australia sudah bersedia untuk berkongsi laporan penuh tragedi berkenaan.
“Mereka menghormati pendirian Malaysia mengenai tragedi itu dan meminta keizinan kita untuk berkongsi laporan itu, malah kita tiada halangan mengenainya. Terpulang kepada mereka (Australia) bila untuk berkongsi laporan penuh tragedi itu,” katanya.
Tragedi Double Six adalah nahas pesawat Nomad 9M-ATZ keluaran Australia yang berlaku pada 6 Jun 1976 di Kota Kinabalu. Tragedi itu mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens, empat menteri Sabah dan enam individu lain.
Pesawat berkenaan terhempas di Sembulan iaitu kira-kira dua kilometer dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu semasa dalam perjalanan dari Labuan ke Kota Kinabalu. – UTUSAN










