PETALING JAYA: Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Bendahari Badan Perhubungan UMNO Selangor.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu dilantik ketika mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor yang diadakan semalam, beberapa minggu selepas pemilihan parti selesai pada 18 Mac lalu.
Selain itu, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim dilantik sebagai setiausaha manakala Datuk Dr. Mohd Zaidi Md. Zain dilantik sebagai ketua penerangan.
Mesyuarat yang dipengerusikan Datuk Megat Zulkarnain Omardin juga memutuskan beberapa ketetapan.
Antaranya mewujudkan Jawatankuasa Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri dalam masa terdekat serta mengadakan program bersama pimpinan kerajaan negeri.
“UMNO Selangor akan terus mendukung Kerajaan Perpaduan dan komited untuk memastikan keutuhan kerjasama dalam kerajaan ini demi kestabilan negara,” menurut Badan Perhubungan UMNO Selangor dalam kenyataan.
UMNO Selangor turut memutuskan rangka kerja dalam penyediaan jentera di setiap peringkat dan juga memulakan gerakan di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).
“Ini serta meneruskan perundingan bersama Pakatan Harapan Selangor dalam menentukan pengagihan kerusi-kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Selangor,” katanya.
UMNO Selangor juga sebulat suara bersetuju dan telah menandatangani memorandum untuk memohon agar kepimpinan tertinggi UMNO membela bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak. – UTUSAN