‘Tak sangka perubahan isteri petanda dia pergi selamanya’ - Utusan Malaysia

‘Tak sangka perubahan isteri petanda dia pergi selamanya’

DUA wanita maut apabila Perodua Myvi dinaiki bertembung dengan lori treler dalam kejadian di Jalan Rompin Lama berhampiran kolam udang di Pekan, Pahang. – IHSAN JBPM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Seorang suami tidak menyangka perubahan isteri yang bersikap lebih mesra daripada biasa menjadi petanda insan disayanginya itu pergi buat selama-lamanya.

Sheikh Hamazon Sheikh Hasnan, 54, suami kepada Ruzana Mohamad Agin, 50, yang maut kemalangan di Kilometer 55 Jalan Pekan/Nenasi/Rompin di sini semalam pada mulanya menganggap perubahan sikap itu kerana faktor usia.

“Dia seorang yang tegas dan kurang bercakap. Namun sejak seminggu dua ini, saya lihat dia lebih mesra daripada biasa.

“Biasanya, kalau dia pergi kerja pun saya tidak sedar, namun sejak kebelakangan ini setiap pagi sebelum bersiap kerja dia akan peluk saya. Saya sebagai suami membalas kembali pelukannya. Saya anggap ini satu perubahan yang bagus namun tidak sangka itu yang terakhir,” katanya di sini.

Sheikh Hamazon berkata, dia mengetahui kejadian menimpa isterinya itu sekitar pukul 9 pagi daripada sahabatnya yang juga Ketua Kampung Benta.

“Dia (ketua kampung) bertanya kepada saya. Saya cakap ibu mentua saya ada di rumah. Jadi secara tidak langsung saya mengesyaki kejadian itu ada kaitan dengan isteri saya sebab dia pegang kad pengenalan ibu mentua saya.

“Saya terus ke lokasi kejadian. Tapi saya tidak sampai ke situ kerana rasa tidak mampu, jadi saya berpatah balik ke hospital kerana saya dimaklumkan jenazah isteri sudah dibawa ke hospital,” katanya.

Beliau yang bekerja sebagai pengusaha lori dalam pada itu memberitahu, dia reda dengan pemergian isterinya itu selain turut berjanji untuk menjaga ibu mentuanya, Jemilah Awang Ngah, 74, sehingga akhir hayat.

“Arwah isteri saya memang bertanggungjawab membawa ibunya mendapatkan rawatan atau apa jua urusan, disebabkan itu arwah isteri memegang kad pengenalan ibu mentua saya.

“Saya berjanji dengan diri saya untuk meneruskan menjaga ibu mentua saya hingga akhir hayatnya dan saya anggap ini amanah terakhir arwah isteri untuk saya,” katanya.

Ruzana meninggalkan empat anak berusia 30, 28, 19 dan 13 tahun yang mana dua anaknya itu sudah berumah tangga dan memiliki tiga cucu yang menetap di Kelantan dan Putrajaya.

Dalam kejadian pukul 8.30 pagi semalam, kereta Perodua Myvi dipandu Ruzana bersama rakannya, Suhaizan Abdullah, 41, yang turut meninggal dunia di lokasi kejadian dikatakan terbabas dan memasuk ke laluan bertentangan lalu terlanggar treler datang dari arah hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN