Syarat ketat, jemaah haji Malaysia tak lagi guna agensi Thailand

Syarat ketat, jemaah haji Malaysia tak lagi guna agensi pelancongan Thailand

PAKEJ murah dan tidak perlu menunggu giliran menjadi daya penarik rakyat tempatan untuk menggunakan perkhidmatan dari negara jiran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Syarat ketat sejak pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia membuatkan jemaah haji Malaysia terutama dari negeri ini tidak lagi menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan Thailand untuk menyempurnakan rukun Islam kelima itu.

Mendedahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, sebelum pandemik ada dalam kalangan jemaah haji mengambil kesempatan menggunakan perkhidmatan dari negara jiran selepas tertarik dengan pakej murah selain tidak perlu menunggu giliran.

“Selepas Covid-19, syarat menjadi lebih ketat apabila kerajaan (Thailand) tidak lagi membenarkan agensi pengendali haji membawa jemaah asing dan mereka lebih memberikan fokus kepada rakyat tempatan (Thailand) untuk melaksanakan ibadah berkenaan.

“Saya difahamkan, ketika ini mereka turut berdepan dengan masalah kuota apabila semakin ramai rakyat yang sudah mampu menyempurnakan Rukun Islam kelima itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sumber memberitahu, urusan mengerjakan haji menggunakan perkhidmatan negara jiran itu sudah bermula sejak tahun 1990-an lagi dan sudah sinonim dengan warga tempatan.

Katanya, kebanyakan individu yang memilih perkhidmatan tersebut mempunyai sanak-saudara atau sahabat-handai di negara jiran.

“Pakej murah dan tidak perlu menunggu giliran menjadi daya penarik rakyat tempatan untuk menggunakan perkhidmatan dari negara jiran. Difahamkan, agensi pengendali haji di negara jiran menawarkan bayaran antara 250,000 hingga 260,000 Thai Bath.

“Berpandukan kepada kadar tukaran sekarang kos mengerjakan haji itu dianggarkan berjumlah RM33,518 hingga RM35,000. Bayaran itu tersebut melibatkan hotel dan lain-lain sepanjang 45 hari mengerjakan ibadah haji,” ujarnya.

Sementara itu seorang penduduk tempatan yang pernah menunaikan haji menggunakan perkhidmatan di Thailand me­ngakui wujud perbezaan pengurusan antara pihak agensi pelancongan dengan pihak Tabung Haji (TH).

Katanya, TH dilihat lebih cakna terhadap keselesaan dan kemudahan kepada jemaah haji Malaysia. Bimbingan berterusan berkait dengan ibadah itu sentiasa diberikan kepada jemaah.

“Saya tidak terlalu memilih kelesaan, apa yang penting dapat menyempurnakan Rukun Islam kelima itu dengan jayanya,” ujarnya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati pakej haji swasta dikendalikan oleh pengelola bertauliah dari Tabung Haji bermula RM49,890 terma­suk pengangkutan dan makan sepanjang berada di tanah suci.

Pakej tersebut melibatkan urusan mengerjakan haji selama 40 hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN