Suruhanjaya reformasi kesihatan mampu selesai isu - Utusan Malaysia

Suruhanjaya reformasi kesihatan mampu selesai isu

KEMUDAHAN bercuti bagi petugas semasa musim perayaan di pedalaman amat penting . - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penubuhan suruhanjaya reformasi kesihatan sepatutnya menjadi agenda utama Kementerian Kesihatan (KKM) kerana mampu menyelesaikan pelbagai isu termasuk kekurangan doktor dan jururawat.

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, penubuhan suruhanjaya tersebut dilihat sebagai satu mekanisme yang baik untuk menangani masalah perjawatan itu.

Jelasnya, jumlah doktor dan jururawat yang berkhidmat untuk KKM sepatutnya meningkat selaras dengan pertambahan fasiliti baharu kesihatan di seluruh negara supaya perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat.

“Jumlah doktor dan jururawat yang ada ketika ini adalah tak masuk akal kerana fasiliti kesihatan semakin bertambah saban tahun dan memerlukan tenaga kerja yang setara.

“Namun apabila pelantikan kakitangan baharu dibuat oleh JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam), mereka perlu selaraskan lantikan baharu dengan semua kementerian dan ia tidak menyelesaikan masalah.

“Justeru suruhanjaya tersebut perlu ditubuhkan supaya dapat berfungsi seperti Suruhanjaya Pendidikan yang mana lantikan perjawatan tidak melalui JPA,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Boon Chye berkata, KKM perlu ada mekanisme sendiri menentukan jumlah doktor dan jururawat yang mereka perlukan di seluruh fasiliti kesihatan mereka.

“Apabila jumlah tersebut sudah dikenal pasti, suruhanjaya akan bertindak untuk meme­nuhi keperluan tersebut supaya perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat.

“Ia juga mampu menyelesaikan isu doktor kontrak di negara ini,” katanya.

Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 196,664 petugas KKM termasuk pegawai perubatan meletak jawatan dalam tempoh 10 tahun lalu.

Berdasarkan jawapan bertulis KKM di Dewan Rakyat baru-baru ini, pegawai perubatan paling ramai berhenti iaitu 6,282 orang diikuti pegawai perubatan siswazah (3,826 orang), pegawai pergigian (3,256 orang), pegawai farmasi (2,692 orang), jururawat (1,643 orang), pakar perubatan (1,631 orang) dan penolong pegawai perubatan (334 orang).

Antara alasan meletak jawatan adalah mahu berkhidmat dalam sektor swasta dan badan berkanun, isu peribadi, me­lanjutkan pelajaran, masalah kesihatan dan membuka klinik sendiri.

Malah menerusi jawapan ber­asingan, 1,732 Pegawai Perubatan Siswazah atau doktor pelatih meletak jawatan sebelum menamatkan latihan siswazah pada 2020-2022.

Yang Dipertua Persatuan Ke­sihatan Ikram Malaysia (Ikram Health), Dr. Mohd. Afiq Mohd. Nor berkata, suruhanjaya tersebut penting agar dapat diwujudkan satu badan bebas dan telus dalam memantau, menasihati serta melaporkan status pelaksanaan reformasi kesihatan.

Menurutnya, ia perlu berfungsi seperti yang dirancang dalam kertas putih kesihatan serta dasar-dasar reformasi baharu.

Katanya, suruhanjaya juga mesti melaporkannya kepada Kabinet, Parlimen dan orang ramai agar semua dapat menge­tahui dan mengambil peranan dalam menjayakan agenda itu.

“Banyak isu yang timbul ini boleh diuruskan dengan le­bih baik seperti penyampaian­ perkhidmatan kesihatan, pengambilan kakitangan, kesaksamaan akses, kelestarian pembiayaan kesihatan, tadbir urus dan akauntabiliti.

“Kita menyokong ia diwujudkan kerana sistem kesihatan sangat memerlukan reformasi menyeluruh,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya