BALING: Sepasang suami isteri maut selepas van dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 41.02, Jalan Baru Kulim-Baling-Gerik di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 10.15 malam itu, pemandu van, Saiful Azmi Mohd. Razali, 35, yang merupakan pembantu bengkel meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Isterinya, Sailulhayati Mat Isa, 36, yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan disahkan meninggal dunia semasa dirawat di Unit Kecemasan Hospital Kulim.
Anak pasangan terbabit, Amar Rizqi, 2, mengalami kecederaan tangan kiri terbakar dan cedera di kepala.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila van jenis Nissan dinaiki tiga beranak itu dipercayai hilang kawalan. – UTUSAN










