Suami isteri baru sehari berkahwin diberkas bersama 9.26kg heroin - Utusan Malaysia

Suami isteri baru sehari berkahwin diberkas bersama 9.26kg heroin

DADAH jenis heroin yang dirampas selepas polis menahan pasangan pengantin baru di tempat letak kereta sebuah masjid di Chikus, Langkap dekat Teluk Intan hari ini. - UTUSAN/PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Pasangan suami isteri yang baru sehari melangsungkan perkahwinan ditangkap bersama 9.26 kilogram (kg) dadah jenis heroin di Chikus, Langkap di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suami isteri berusia 23 dan 24 tahun itu ditahan ketika pemeriksaan di kawasan tempat letak kereta sebuah masjid pada pukul 12.30 tengah hari.

Katanya, ketika tangkapan dijalankan, kedua-dua suspek dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk jual beli dadah.

“Hasil pemeriksaan ke atas kereta dinaiki pasangan yang berkahwin semalam itu menemui beg pakaian mengandungi 20 bungkusan plastik berisi dadah disyaki jenis heroin seberat 9.268kg.

“Nilai rampasan dadah itu dianggarkan berjumlah RM77,000,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 10,000 penagih dan dipercayai untuk edaran luar daerah Hilir Perak.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Semakan juga mendapati kedua-dua pengantin baharu itu mempunyai rekod lampau bersabit kes narkotik.

“Permohonan reman ke atas mereka akan dijalankan esok bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tambah beliau, usaha sedang dijalankan bagi mengesan individu lain atau ahli sindiket yang terlibat dalam tangkapan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya